
TELUK INTAN: Doktrin rasis DAP telah lama dimainkan parti tersebut dalam kalangan masyarakat bukan-Muslim untuk menakut-nakutkan mereka terhadap PAS.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, kaum bukan-Muslim telah ditakutkan oleh DAP dengan pelbagai perkara yang tidak masuk akal.
“Momokkan seperti kalau PAS perintah Malaysia, negara akan jadi seperti Negara Taliban kerap diulang dan kini mula diserapkan dalam minda generasi muda mereka.
“Antara lain yang ditakutkan, semua orang Cina akan dipaksa masuk Islam, kalau tak masuk Islam akan dipotong tangan, masuk Islam pula nanti akan dipotong (sunat).
“Bagi kita yang Muslim mungkin nampak kelakar, tetapi bagi mereka, ia adalah ketakutan yang nyata,” jelas beliau selepas pertemuan bersama sahabatnya yang bukan-Muslim.
Difahamkan, orang bukan-Muslim juga tidak suka DAP, tetapi oleh kerana lebih takutkan PAS, mereka tiada pilihan selain terpaksa juga memilih DAP.
“Maka, tugas dakwah dan penerangan perlu diteruskan untuk mengubah pandangan bukan-Muslim kepada PAS agar mereka dapat melihat wajah PAS yang sebenarnya.
“Jika ini berlaku, tidak mustahil PRU16 gelombang Melayu-Islam akan bergabung bersama bukan-Islam membentuk tsunami rakyat Malaysia menyokong Perikatan Nasional,” ujarnya menjangkakan. – HARAKAHDAILY 17/12/2022




















