
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) merupakan antara lapangan terbang domestik yang paling cepat pulih operasinya pada era pasca pandemik Covid-19.
Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani berkata, jumlah penumpang di lapangan terbang berkenaan sekarang ini sudah mencapai 80 peratus dengan mencatat sejumlah 4,000 penumpang sehari.
Menurutnya, sebelum wabak pada tahun 2019 seramai 5,000 penumpang menggunakan LTSIP dalam tempoh sehari.
“LTSIP satu-satunya daripada 19 lapangan terbang domestik di Malaysia yang menawarkan penerbangan secara terus dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Johor, Langkawi dan Pulau Pinang.
“Penerbangan terus diadakan kerana permintaan yang tinggi daripada rakyat Kelantan,” katanya ketika ditemui HarakahDaily.
Sehubungan itu, LTSIP sekarang ini sedang dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat setiap tahun.

Projek menaik taraf tersebut melibatkan kos lebih RM440 juta dan dijangka siap menjelang tahun 2024 itu taraf merangkumi pembesaran dan menaik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun.
Projek itu juga melibatkan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan penumpang dengan bangunan terminal lebih besar.
LTSIP bakal mempunyai tempat letak kereta bertingkat, 11 jambatan udara (aerobridge), yang mana projek tersebut merupakan pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sementara itu, Ketua Operasi Malaysia Airport Sdn. Bhd., Muhamad Walid Azman berkata, projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP sejajar dengan peningkatan kekerapan penerbangan sehingga 40 sehari (pergi dan balik).
“Purata jumlah penumpang sekarang ini mencecah 4,000 sehari dan pada Selasa lepas jumlahnya sudah kepada 4,800 orang sehari,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2022




















