
LONDON: Seramai 100,000 jururawat ahli Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di seluruh United Kingdom bersedia untuk melancarkan mogok bersejarah pada esok, Khamis (15 Dis) waktu United Kingdom, dengan keluar dari hospital-hospital bagi menyertai piket di jalanan.
Mogok terbesar dalam sejarah 106 tahun penubuhan RCN yang merupakan kesatuan jururawat terbesar di UK itu diadakan susulan isu gaji dan pangkat menyebabkan sistem penjagaan kesihatan negara (NHS) Britain kini berada dalam keadaan krisis, lapor CNN.
Kumpulan jururawat tersebut dijangka menyertai mogok tersebut di England, Wales dan Ireland Utara, dalam gelombang mogok terbaharu dan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Britain.
Mogok berkenaan dijadualkan berlangsung selama dua hari – esok dan Selasa depan (waktu United Kingdom) – dan bukan setiap NHS Trust UK akan mengambil bahagian.
Namun, ia menandakan salah satu penggunaan tindakan tunjuk perasaan pekerja industri paling dramatik dalam sejarah 74 tahun NHS, dan telah meningkatkan perdebatan mengenai senario terkini perkhidmatan awam di Britain.
Terdahulu, RCN menyeru kerajaan Britain menaikkan gaji jururawat sebanyak 5 peratus di atas inflasi runcit, yang pada angka semasa berjumlah 19 peratus kenaikan, dan mencadangkan kekosongan jawatan jururawat diisi segera kerana ia boleh membawa risiko terhadap keselamatan pesakit.
Setiausaha Kesihatan UK, Steve Barclay memberitahu CNN dalam satu kenyataan awal minggu ini telah melabelkan permintaan RCN itu sebagai ‘tidak berpatutan’.
Menurut sebuah badan amal UK, Health Foundation, kemelut berkenaan tercetus berikutan pertikaian bertahun-tahun mengenai tahap gaji untuk pekerja NHS, yang mana gaji jururawat turun 1.2 peratus setiap tahun antara tahun 2010 dan 2017 sebaik sahaja inflasi diambil kira.
“Sementara, untuk tiga tahun antara 2018 hingga 2020, gaji jururawat di Britain telah dibekukan, dan keadaan itu diburukkan lagi dengan pertambahan bilangan pesakit yang menunggu rawatan impak pandemk Covid-19.
Menurut data British Medical Association, 7.2 juta orang di England – lebih daripada satu daripada lapan penduduk – kini sedang menunggu rawatan, berbanding tujuh tahun lalu, angka itu hanya 3.3 juta.
“Saya bekerja bersama beberapa (jururawat) yang hebat yang datang awal, keluar lewat, bekerja pada waktu rehat dan makan tengah hari, bersetuju untuk masuk bekerja pada hari cuti mereka untuk syif lebih masa bagi memastikan pesakit mereka disimpan dengan selamat seperti yang kita boleh uruskan,” ujar jururawat yang telah bekerja selama tujuh tahun, Andrea Mackay kepada CNN.
“Saya faham bahawa terdapat had untuk dana wang yang ada (bagi kenaikan gaji jururawat), tetapi jika kerajaan tidak mengutamakan kesihatan, keselamatan pesakit, (dan) mengukuhkan tenaga kerja, maka NHS di Britain akan runtuh,” katanya.
Terdahulu, NHS telah memenangi hati rakyat Britain, khususnya semasa minggu-minggu awal pandemik Covid-19, ribuan rakyat Britain berdiri di luar kediaman mereka untuk memberi penghormatan kepada pekerja NHS, dalam upacara mingguan yang diperjuangkan oleh kerajaan.
Pada awal tahun ini, RCN telah menolak tawaran kerajaan untuk menaikkan gaji jururawat sekurang-kurangnya £1,400 (RM7,523) setahun, yang berjumlah purata kenaikan 4.3 peratus, jauh di bawah kadar inflasi.
“Saya telah merawat pesakit yang boleh mengingati kehidupan sebelum NHS. Mereka tahu betapa berharganya ia kerana mereka telah melihat apa yang berlaku sebelum ini,” ujar Mackay.
Dalam pada itu, pemimpin kesatuan buruh, Keir Starmer menempelak Perdana Menteri, Rishi Sunak bahawa mogok jururawat itu tidak akan berlaku sekiranya perjanjian dibuat menepati kehendak RCN.
“Tindakan mogok (jururawat) itu adalah ‘lencana yang bakal memalukan buat kerajaan ini’ (di bawah pimpinan Rishi Sunak),” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2022




















