
KUALA LUMPUR: Hujan yang berterusan telah menyebabkan banjir kilat melanda beberapa tempat di Lembah Klang sejak petang tadi termasuk di beberapa jalan raya sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur, dan di Shah Alam, Selangor.
Sehubungan itu, aliran trafik dilaporkan mengalami gangguan di Kuala Lumpur termasuk di Jalan Yoke Yew, Jalan Pudu, Jalan Yaacob Latif, Jalan Sungai Besi, dan Jalan Bukit Bintang.
Sementara di Shah Alam, beberapa kawasan dilaporkan telah dinaiki air termasuk di Taman Sri Muda, Taman Sentosa, Alam Impian, Bukit Naga, Bukit Jelutong, Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 32, Seksyen 32, dan Seksyen 36 dipercayai susulan hujan lebat yang turun bermula kira-kira pada jam 4 petang hari ini.

Perkongsian mengenai banjir berkenaan telah di muat naik beberapa netizen menerusi media sosial termasuk menampilkan maklumat ada kenderaan yang telah dimasuki air banjir.
Menurut Mohd Kamal melalui Facebook miliknya yang memuat naik maklumat daripada Twitter @alyaa_haliqa yang berbunyi: “Alert orang Shah Alam, air dah naik ada tempat dah srat banjir, Sekysen 17,18, 23,24, Alam Impian, Sri Muda, Taman Sentosa, Highway Klang semua tempat dah naik air.
“Suami saya pun dah sangkut banjir tadi air masuk kereta. Hati-hati semua.”

Melalui Twitternya, @Izwan Izzat turut berkongsi gambar-gambar banjir di sekitar Shah Alam termasuk di Seksyen 17, 24, 25 (Taman Sri Muda), 32, 34 (Bukit Naga), 35 (Alam Impian) dan 36.
Sementara melalui Facebook Izham Hashim pula berkongsi maklumat tentang keadaan semasa di Sri Muda pada jam 6.45 petang ini.
“Pam air berfungsi dengan baik. Air sungai agak tinggi kerana fenomena air pasang sedang berlaku,” kongsi Izham dalam Facebooknya.

Emma Oshin melalui Facebook miliknya pula yang berkongsi kenyataan: “Hari ini, 8 Nov 2022, dari petang tadi sampai sekarang jam 8.56 malam, hujan belum berhenti. Doakan semoga tak ada musibah seterus pada tahun lepas (2021) ketika Shah Alam berhampiran Lebuh Raya Persekutuan, selain Taman Sri Muda yang dinaiki air sehingga ke paras bumbung rumah.”
Sementara itu Majlis Bandaraya Shah Alam dalam kenyataan melalui Facebook pada jam 8 malam ini (8 Nov) menasihatkan penduduk di kawasan Taman Sri Taman Sri Muda agar meletakkan kenderaan di kawasan tinggi, yang mana tempat letak kereta Pasar Moden Seri Muda dibuka untuk orang ramai meletakan kenderaan.
Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811.

Dalam pada itu, terdahulu, data ramalan cuaca berdasarkan analisis model MET Malaysian Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts, dan Global Forecast System (GFS), yang dikemaskini sehingga jam 3.30 hari ini (8 Nov) mengeluarkan kenyataan bahawa penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.
Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan yang boleh membawa hujan lebat berserta angin kencang di pantai timur Semenanjung sehingga 11 November 2022.

Pada masa yang sama, negeri-negeri di pantai barat Semenanjung dan Sarawak juga dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam hari.
MET Malaysia juga telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) pada jam 2 petang, semalam 7 Nov 2022 melibatkan negeri Kelantan, Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 11 Nov 2022.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 8/11/2022




















