Manifesto PRU15: PN Pahang sedia 12 tawaran

- Advertisement -

JERANTUT: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pahang menyediakan 12 tawaran dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sebahagian besar berkait dengan keperluan ekonomi rakyat negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan manifesto yang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ itu di dataran hadapan Majlis Daerah Jerantut di sini malam ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar, Pengerusi Gerakan negeri, Dato’ Seri Yap Kim Heng dan calon PN Parlimen Jerantut yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Manifesto mengandungi inti pati untuk mendaulatkan agama, mendukung sistem tadbir urus negeri yang bersih, berintegriti dan cekap.

Di samping itu, manifesto PN Pahang itu juga ialah menyuburkan ekonomi negeri menerusi pemerkasaan dan merakyatkan industri kecil dan sederhana, termasuk di kawasan Felda, memperkasa pemilikan rumah serta memperkemas proses libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar menerusi segmen alam sekitar lestari.

Selain itu, manifesto yang menyediakan 45 inisiatif itu termasuk perniagaan bagi membantu belia memulakan perniagaan, memperkasakan usahawan belia, memartabatkan wanita dan warga emas, bantuan perkahwinan dan pengajian buat anak Pahang, serta memperkasa pelancongan dan kebudayaan negeri. – HARAKAHDAILY 9/11/2022

- Advertisement -