Kemenangan PAS PRU15 ‘ditangguh’, insya-Allah PRU16

- Advertisement -

JERAI: Ramai pihak menyangka Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS bakal mengetuai tampuk pemerintahan negara selepas mendapat mandat rakyat terbesar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun ia ‘ditangguhkan’ untuk memberi peluang kepada rakyat menilai kerajaan hari ini berbanding pemerintahan PN pada Mac 2020 hingga Ogos 2021.

- Advertisement -

Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani pada tahun enam Hijrah antara Nabi Muhammad SAW dan pemimpin Quraisy Makkah di lokasi dikenali Hudaibiyah.

“Ramai dari kalangan sahabat-sahabat Baginda menyangka bahawa tahun itu adalah tahun yang keenam, rupa-rupanya dapat masuk ke Makkah dengan aman tu pada tahun ketujuh, bukan tahun yang keenam Hijrah.

“Macam kita, kita ingat (sangka) bahawa kita (PN) akan mentadbir negara ini selepas PRU15 dahulu, tetapi tidak. Insya-Allah pada PRU16 nanti, insya-Allah,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Sidang As-Sabiqun 5.0 di Sekolah Rendah Agama Al-Akhlak Al-Islamiyah (SAIF), Guar Chempedak, di sini pagi tadi.

Tuan Ibrahim berkata, perjanjian tersebut mendapat tentangan sebahagian besar Sahabat Baginda termasuk Umar al-Khattab yang mendakwa langkah tersebut sebagai berat sebelah dan merugikan umat Islam.

Beliau berkata, ia merupakan elemen perjanjian yang ditetapkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan wahyu termasuk perkara mengenai pengembalian orang yang melarikan diri sama ada Makkah dan Madinah.

“Undang-undang Allah yang paling baik, kalau nak keluar tempat yang baik (Madinah), mereka ini boleh keluar tak perlu hantar balik, kenapa, kalau mereka ada pun mereka menjadi musuh dalam selimut.

“Mereka berpura-pura orang duduk dalam jamaah tak sepatut keluar berjemaah, tak puas hati boleh bincang, tapi jangan keluar dari jemaah, jangan bentuk jemaah lain daripada jemaah sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2025

- Advertisement -