
ALOR SETAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, parti itu tidak ketandusan tokoh untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri (PM), namun kriteria utama yang dicari ialah pemimpin bertakwa serta berpegang teguh kepada syariat Islam.
Beliau berkata, masyarakat sering mempersoalkan siapa calon Perdana Menteri daripada PAS, sedangkan bagi parti itu keutamaan bukanlah pada imej atau kemampuan berucap semata-mata, tetapi turut menitik berat soal ketakwaan dan integriti.
“Ramai dalam PAS yang boleh diketengahkan, bukan jenis pergi mesyuarat sana sini atau naik kapal terbang saja. Itu bukan ukuran. Kalau jenis itu, tiga empat lori pun boleh kita cari.
“Tetapi yang kita perlukan ialah seorang pemimpin yang bertakwa, beramal dengan syariat, membuat persediaan kembali kepada Allah dan redha dengan rezeki yang ditentukan-Nya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-64 di Maahad Darul Hadis, Tok Keling, di sini hari ini.
Beliau turut mengenang pengalaman PAS menawan Kelantan pada tahun 1990 di bawah kepimpinan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada awalnya dipandang rendah oleh lawan politik.
“Waktu Tok Guru dilantik jadi Menteri Besar, Umno kata tiga bulan kerajaan akan tumbang sebab beliau hanya tahu baca kitab. Tetapi akhirnya mampu bertahan 22 tahun kerana berpegang kepada dasar Islam.
“Malah pada hari pertama beliau masuk pejabat, Tok Guru tidak terus duduk di kerusi Menteri Besar, sebaliknya mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dhuha terlebih dahulu. Selepas itu barulah beliau mula menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Menurut Hashim, kejayaan kepimpinan berteraskan syariat dan keberkatan itulah yang perlu dijadikan asas kepada mana-mana pemimpin PAS yang bakal diangkat ke peringkat lebih tinggi, termasuk sebagai Perdana Menteri.
Katanya lagi, kemenangan besar PAS pada masa ini perlu disyukuri dengan penuh tawaduk dan pimpinan yang diberi amanah mesti terbuka menerima teguran.
“Saidina Umar ketika dilantik sebagai khalifah pun berkata, tidak ada kebaikan bagimu jika kamu tidak menegur aku, dan aku juga bukanlah orang baik jika tidak bersedia mendengar teguran.
“Sebab itu saya harap pimpinan PAS yang ada sekarang jangan tutup pintu teguran. Itu kunci untuk kita terus kekal mendapat keberkatan Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2025




















