
SUNGAI PETANI: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa pentadbiran PAS terbukti lebih adil dan menjaga hak masyarakat bukan Islam berbanding kerajaan yang memerintah ketika ini.
Beliau berkata, realiti yang berlaku kini menunjukkan golongan bukan Islam, khususnya masyarakat India, terus berdepan masalah besar seperti perumahan di ladang serta isu kebajikan pekerja masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan Pusat.
“Banyak keluarga India yang sudah lama bekerja di ladang-ladang dihalau keluar apabila tanah mereka diambil alih syarikat lain. Inilah bukti kegagalan sistem kerajaan yang ada sekarang.
“Mereka diperah tenaganya, tetapi nasib mereka terus terabai,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) 2025 di Dewan Gandhi, di sini hari ini.
Sebaliknya jelas beliau, negeri-negeri ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan keadilan berbeza, apabila masyarakat bukan Islam tetap diberikan ruang dan hak untuk mengamalkan agama serta budaya tanpa halangan.
“Di Kelantan, walaupun tiada wakil rakyat bukan Islam, kerajaan negeri tetap melantik mereka sebagai ahli pihak berkuasa tempatan dan pegawai di Pejabat Menteri Besar bagi mendengar terus permasalahan masyarakat Cina dan India.
“Ini bukti kita tidak pernah pinggirkan sesiapa,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu lagi, PAS berpegang kepada prinsip Islam di mana mewajibkan keadilan kepada semua, tanpa mengira bangsa atau agama.
“Kalau kami tidak berlaku adil kepada rakyat, bukan rakyat sahaja yang menolak kami, bahkan Allah SWT juga akan murka. Inilah yang membezakan PAS dengan kerajaan lain. Keadilan Islam adalah jaminan untuk semua,” katanya.
Beliau turut menepis tuduhan yang cuba menggambarkan PAS sebagai parti ekstrem yang menindas bukan Islam, sebaliknya menegaskan di negeri yang PAS tadbir, kedai bukan Islam masih bebas beroperasi dan masyarakat mereka masih mengamalkan cara hidup mereka.
“Ini bukti PAS tidak pernah mengganggu gugat hak mereka. Berbeza dengan kerajaan kini, masalah asas kaum bukan Islam pun gagal ditangani,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2025




















