PAS tubuh pusat khidmat khas bantu kaum Cina, India

- Advertisement -

SELAYANG: PAS Negeri Selangor bakal mewujudkan pusat khidmat khas kepada kaum Cina dan India yang akan bertindak membantu, terutama menjadi pemudah cara dalam masalah atau urusan mereka dengan agensi kerajaan.

- Advertisement -

Pegawai Khas di Pejabat Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Shawn Loh Sheng Nian telah diberi mandat oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri bagi melaksanakan pusat khidmat tersebut yang akan berpangkalan di sini.

Komitmen tersebut berikutan aduan diterima bahawa sesetengah penduduk dalam kalangan kaum Cina dan India terutama warga emas mengalami kesukaran dalam urusan berkaitan kerana kurang memahami prosedur.

Menurut Dr Shawn, keadaan tersebut turut berpunca oleh masalah komunikasi kerana mereka yang berkenaan kurang fasih berbahasa Melayu menyebabkan urusan bersama pegawai agensi berkaitan juga tertangguh.

“Pusat khidmat ini akan menjadi ‘jambatan’ untuk menangani urusan berkenaan. Buat masa ini kami akan bermula di Selayang dan jika mendapat sambutan yang baik akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain,” ujarnya.

Terdahulu beliau turut serta pada majlis dialog Dr Ab Halim juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras bersama penduduk setempat yang majoritinya kaum Cina di 168 Selayang Park, di sini minggu lalu.

Antara masalah dibangkitkan termasuklah isu kutipan sampah tidak mengikut jadual, masalah anjing liar berleluasa, serta permohonan hak milik tanah (geran) yang tidak berjaya untuk dipanjangkan PAS Selangor ke pihak berkenaan.

​”Ada penduduk yang menyatakan rasa simpati terhadap anjing liar yang ditangkap oleh majlis perbandaran, lalu mereka memberi makan kepada haiwan tersebut.

“Saya mencadangkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO (badan bukan kerajaan) untuk menyediakan tempat perlindungan yang sesuai bagi kucing dan anjing liar untuk diambil angkat oleh penduduk,” katanya.

​Dr Ab Halim berkata, berikutan kesukaran dihadapi penduduk dalam kalangan masyarakat Cina dan India ketika berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka pihaknya telah memutuskan penubuhkan pusat khidmat tersebut.

​Setiausaha PAS Selangor, Mohd Zaidy Abdul Talib menyatakan bahawa sesetengah masalah mereka itu kerana tidak tahu saluran yang harus digunakan untuk mengadu masalah setempat, termasuklah gagal dalam permohonan berkaitan.

Katanya, mereka hanya diminta terus mengisi borang dan menunggu tanpa sebarang kepastian daripada pegawai bertugas menyebabkan kebuntuan berterusan, sekali gus masalah sedemikian perlu dimudahcarakan.

​Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono serta Bendahari PAS Selangor, Jefri Mejan.

Juga Ahli Bersekutu PAS Selangor, Sky Lee Kok Seng serta wakil penduduk, Grace Lee Shat Po. – HARAKAHDAILY 17/1/2026

- Advertisement -