SAR, kilang haram kena ‘pemutihan’, ladang babi tak?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor didesak supaya tidak berat sebelah dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, khususnya membabitkan isu penternakan babi yang telah lama membelenggu penduduk setempat.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mempersoalkan proses ‘pemutihan’ begitu tegas terhadap institusi pendidikan Islam dan sektor industri lain sebelum ini, namun sukar dilakukan terhadap ladang babi.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri boleh melaksanakan pemutihan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan kilang-kilang haram, tiada alasan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal melakukan perkara sama terhadap industri penternakan tersebut demi kesejahteraan rakyat.

“Kita mencadangkan buat pemutihan kepada ladang babi. Kalau dulu boleh buat pemutihan kilang haram, boleh buat pemutihan sekolah agama rakyat (SAR). Ini (ladang babi) takkan tak boleh? PBT kena buat kerja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bantahan aman projek ladang babi Bukit Tagar yang diadakan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor, di sini, petang semalam.

Menurutnya, proses pemutihan yang dicadangkan oleh UMMAH adalah menjurus kepada penutupan operasi ladang di Selangor dan menjadikan negeri ini bersih daripada industri berisiko mencemarkan alam sekitar.

Jelas Mohd Zai, Selangor sebagai negeri maju sepatutnya tidak lagi menjadi lokasi penternakan haiwan tersebut, sebaliknya bekalan daging itu wajar diimport atau dibekalkan dari negeri pengeluar sedia ada.

“Tak ada, ladang babi. Importlah atau ambil daripada Pulau Pinang. Selangor ini negeri yang keempat (terbesar). Kalau boleh rakyat Selangor nak tengok tiada lagi ladang babi di negeri ini. Buatlah projek-projek lain dan sebagainya. Exco Pertanian kena usahakan lembu, kerbau yang tak cukup semua ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa desakan pemutihan dan penutupan ladang ini bukanlah isu perkauman, tetapi isu kualiti hidup yang memberi kesan kepada semua bangsa.

“Ini bukan isu rasis. Ini bukan isu soal kita benci kepada orang yang makan daging babi. Tidak. Kalau nak makan banyak mana, silakan. Cuma kita tak mahu ia diternak di negeri Selangor.

“Semua orang tak boleh tahan duduk di kawasan yang ternak babi, (sama ada) Melayu ke, India ke, Cina. Orang penternak pun tak tahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2026

- Advertisement -