
ALOR SETAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan bahawa penggunaan simbol parti terbukti memberi kelebihan besar kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), khususnya di negeri yang ditadbir parti itu.
Menurut beliau, kejayaan di Kelantan dan Terengganu pada PRU lalu telah membuktikan keyakinan rakyat terhadap simbol bulan, malah ia wajar diteruskan di empat negeri yang kini dikuasai PAS.
“Penggunaan simbol PAS memang memberi kemenangan, seperti di Terengganu dan Kelantan. Itu keyakinan kita. Negeri lain boleh dibincang, tetapi untuk negeri yang kita kuasai, simbol PAS lebih baik,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika sidang media Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-64 di Maahad Darul Hadis, Tok Keling, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) dengan berharap rundingan antara parti berjalan lebih adil bagi mengelakkan kerusi majoriti Melayu tergadai.
“Kalau kita silap langkah, kampung Melayu pun boleh hilang. Sebab itu saya harap perunding kita lebih bersedia memastikan keadilan dalam pembahagian kerusi,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau menegaskan PAS konsisten menilai calon Perdana Menteri berlandaskan prinsip Islam, bukan semata-mata populariti atau kehendak parti komponen.
“Sistem Islam berbeza daripada amalan biasa. Kita menilai calon berdasarkan syarat yang ditetapkan syarak. Islam mengutamakan yang lebih afdal, bukan hanya kuat atau berpengaruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan mana-mana pihak yang mahu bersama PAS atau menyertai kerajaan pimpinan PN perlu menerima prinsip perjuangan PAS tanpa meletakkan syarat.
“Mereka yang nak bersama kita, kena ikut kita. Bukan kita ikut mereka. Itu budaya kita. PAS akan terus berpegang pada kaedah Islam dalam membuat keputusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2025




















