
ALOR SETAR: Bumi Kompleks PAS Kedah berseri dan terus segar diwarnai ratusan Muslimat seluruh negara berpakaian hijau dan bertudung putih membanjir pekarangannya.
Perwakilan dan pemerhati dari seluruh Malaysia berkampung selama dua hari, bermula 13 hingga 14 September, untuk menjayakan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-65.
Majlis perasmian dimulakan pada jam 9.00 pagi sebaik sahaja Naib Presiden PAS, Dato’ Sri D’Raja Mohd Amar Abdullah sebagai perasmi tiba di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor.
Terdahulu beliau diiringi tiga pemimpin utama Muslimat PAS iaitu Ketua, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Timbalan, Dr Rosni Adam serta Naib, Ustazah Salamiah Mohd Noor disertai Ketua Penerangan, Dr Najihahtusolehah Ahmad, kira-kira pada jam 8.45 pagi, masuk ke dewan.
Bertemakan “Islam Berdaulat Wanita Bermartabat”, muktamar kali ini, menyaksikan 16 bendera diarak masuk ke dalam dewan oleh 19 anggota Briged Dewan Muslimat PAS mewakili setiap negeri.
Mereka membawa 14 bendera mewakili negeri-negeri di dalam Malaysia, termasuk bendera Malaysia dan bendera PAS berserta kotak berisi khat logo muktamar, diserahkan kepada Dato’ Mohd Amar untuk dilekatkan di bingkai utama menyempurnakan gimik perasmian.
Para hadirin juga dihidangkan dengan Montaj Khas yang memaparkan gerak kerja bersepadu Dewan Muslimat PAS Malaysia dan ketua-ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, sekarang dan yang lalu.
Selain itu turut dilancarkan Montaj Pelancaran Dana Pembinaan Kompleks Pendidikan Saidatina Aishah (KOMSA) bernilai RM10 juta yang akan dibangunkan di bawah pengurusan Muslimat PAS sendiri.
Antara tetamu jemputan yang hadir pada majlis perasmian kali ini termasuklah, Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS.
Selain itu turut dihadiri wakil wanita Srikandi BERSATU dan wanita GERAKAN, wanita BERJASA, wanita Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Majlis Guru PASTI Pusat, Sinergi Gerakan Mahasiswi dan wakil Siswi PAS, juga disertai wakil Persatuan Isteri Wakil Rakyat SG4 dan pempengaruh.
Sementara pemerhati dari PAS Pusat diwakili Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dan Datuk Ahmad Marzuki Shaary. – HARAKAHDAILY 13/9/2025












