Manifesto PRU15 PERIKATAN NASIONAL menyeluruh, terbaik

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan senarai 12 manisfesto yang ditawarkan PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), secara keseluruhannya adalah sangat baik, menyeluruh dan rasional serta dinanti-nantikan oleh rakyat khususnya oleh golongan B40, anak muda dan belia di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, penilaian itu dibuat selepas pihaknya membuat penelitian terhadap perkara tersebut yang telah dilancarkan semalam.

“Tema Prihatin, Bersih dan Stabil merupakan asas dan konsep teras kepada pentadbiran negara yang ditawarkan untuk dilaksanakan kelak.

“Fokus khusus di peringkat nasional seperti program My Prihatin, DanaNita, Dana Fund for Food adalah  antara perkara terpenting yang diperlukan oleh rakyat,” ulasnya.

Selain itu, tambah beliau, tawaran manifesto PERIKATAN NASIONAL untuk memperkasa mahkamah syariah adalah merupakan teras utama kepada kedaulatan Islam yang dinanti-nantikan oleh  majoriti pengundi Melayu Islam di negara ini.

“Tawaran kepada negeri Kelantan ,Terengganu dan Kedah merupakan tawaran khusus dan istimewa bagi meningkatkan lagi pembangunan tiga negeri ini yang ketinggalan dan telah didiskriminasi semasa pemirentahan terdahulu, seperti infra struktur air bersih, pembangunan industri pertanian, penternakan, perikanan dan felda serta hub makanan di Kedah.

“Selain itu pembangunan pendidikan sekolah agama rakyat, pondok dan tahfiz diberi perhatian khusus,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Tambah Mohd Zai, selain  itu, tawaran yang dinanti-nantikan oleh golongan mahasiswa adalah pengurangan hutang PTPTN sehingga 25 peratus yang  sangat melegakan mereka, di samping program usahawan anak muda mahasiswa terus diperkasakan.

“Mewujudkan peluang pekerjaan satu juta kepada mahasiswa juga adalah tawaran terbaik yang ditunggu-tunggu  mereka,” katanya.

Menurutnya, melalui DanaNita,  segmen wanita telah diberikan tumpuan khusus bagi meningkatkan usahawan wanita, khusus bagi membantu golongan tersebut dalam industri bisnes.

“Penekanan khusus kepada golongan pendidik dan guru dengan memberi kemudahan peranti digital dan komputer riba  pula merupakan gajet penting dalam pembelajaran dan pengajaran yang akan menyelesaikan banyak urusan tugasan hakiki guru,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan bagi melengkapkan lagi tawaran manifesto PRU15 PERIKATAN NASIONAL agar satu lagi tawaran peruntukan khas dan khusus kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam diberikan perhatian penting.

“Ia adalah sebagai tanda menghargai peranan NGO Islam dalam pembangunan negara, serta mengiktiraf kerjasama NGO dan kerajaan dalam banyak perkara seperti yang telah terbukti peranan yang dimainkan oleh NGO semasa berhadapan pandemik Covid-19 sebelum ini,” ujarnya. 

“Pihak NGO yang banyak membantu kerajaan dan agensia-agensi yang berkaitan dengan rakyat.

“NGO juga merupakan pihak yang melakukan semak dan imbang kepada polisi dan dasar kerajaan serta menjadi mata rantai maklumat kerajaan kepada rakyat, selain juga mempunyai kepimpinan dan ahli uang dinamik yang menjadi aset kepada negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah sewajarnya rakyat Malaysia menyambut baik 12 manifesto PRU15 yang ditawarkan PERIKATAN NASIONAL itu, dan tidak ragu-ragu menjadi antara pilihan yang terbaik untuk rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -