
KOTA BHARU: Manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) dianggap lebih realistik berbanding apa yang ditawarkan parti-parti lain dengan tumpuan menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Pengerusi Ummah Prihatin Kota Bharu, Mohd Nuri Mat Yaakub, berkata sebahagian tawaran tersebut sudah dilaksanakan ketika pemerintahan PN di Putrajaya sebelum ini.
Menurutnya, kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin berupaya melaksanakan pembaharuan pentadbiran walaupun tempoh pentadbirannya hanya 17 bulan, 2 minggu dan 1 hari.
“Tawaran tersebut merupakan penambah baik kepada apa yang dilaksanakan kerajaan PERIKATAN NASIONAL sebelum ini.
“Sedangkan semasa kerajaan PERIKATAN NASIONAL dibentuk, tiada tawaran pun tetapi tetap juga dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya di sini.
Manifesto PN yang diumumkan malam tadi, menggariskan 12 tunjang utama bertemakan Prihatin Bersih Stabil Malaysia Gemilang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Manifesto itu dilancar Muhyiddin yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL. Selepas pelancaran itu turut diadakan town hall bagi memberi ruang orang ramai bertanya soalan.
Sebahagian besar mereka yang hadir malam tadi dalam kalangan anak-anak muda dan cendikiawan dari institusi pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 7/11/2022




















