Orang Pahang terima ulamak sebagai pemimpin

- Advertisement -

SUATU masa lalu, PAS Pahang ditegur oleh Presiden PAS, al-marhum Dato’ Fadhil Noor kerana menamakan hampir semua calon dalam pilihan raya di kalangan alim ulamak. 

- Advertisement -

“Pahang ni nak perintah negeri ka, nak bukak madrasah!” Kata beliau. 

Teguran itu menyebabkan Pesuruhjaya PAS Pahang waktu itu, Tuan Guru Haji Mohd Baki Osman terpaksa membawa pulang senarai nama itu untuk dimurnikan. 

Teguran Dato’ Fadhil itu ada benarnya. Untuk memerintah negeri, bukan ustaz sahaja diperlukan. Tokoh ekonomi, jurutera, ahli perubatan, pakar pendidikan dan lain-lain juga sangat diperlukan.  

Namun di suatu sudut, alim ulamak juga tidak ketinggalan dalam menguasai bidang-bidang lain. Ada ulamak yang mahir dalam perubatan, perniagaan dan pelbagai bidang pembangunan.

Bahkan bidang pengajian Islam itu sendiri mencakupi soal ekonomi, sosial dan politik.

Apabila tokoh ulamak dalam PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, masyarakat awam mula membuka mata bagaimana seorang ulamak mampu mengurus sebuah kementerian berkaitan dengan sains ini dengan jayanya.

Ustaz Tuan mendapat anugerah peringkat antarabangsa sebagai antara Menteri Alam Sekitar terbaik di dunia. 

Di Pahang, PRU ke-14 menyaksikan PAS menang di 8 kerusi Dewan Negeri. Enam daripadanya dimenangi oleh tokoh di kalangan ulamak. Iaitu N.09 Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan, N.10 Damak Ustaz Zuridan, N.15 Ustaz Rosli Abd Jabar, N.19 Panching Ustaz Tarmizi Yahya, N.26 Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak dan N.29 Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz. 

Latar belakang para ulamak ini pula berbeza. Ada yang mendapat kelulusan dari pusat pengajian luar negara seperti Pakistan, Yaman, Jordan dan Maroco. Ada juga yang berkelulusan dalam negara. Bahkan ada juga yang hanya berkelulusan sekolah pondok. Namun orang Pahang menerima mereka!

Dalam PRU kali ini, PAS menampilkan 31 calon di 7 kawasan Parlimen dan 24 Negeri. Dari 7 kerusi Parlimen yang diperuntukkan PERIKATAN NASIONAL kepada PAS, 3 daripadanya diwakili oleh tokoh ulamak. 

Mereka ialah Ustaz Aireroshairi Roslan yang bertanding di P.084 Paya Besar, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim di P.085 Pekan dan Ustaz Kamal Ashaari di P.087 Kuala Krau. 

Bahkan PAS turut menampilkan seorang tokoh korporat yang mendapat pendidikan peringkat menengah di sekolah menengah agama, iaitu Wan Razali Wan Nor di P.083 Kuantan.  

Tanpa dijangkakan, pada saat akhir sebelum penamaan calon, PAS Pusat membuat keputusan menerima bekas pemimpin Umno, Dato’ Sri Dr Hj Ismail Abd Muttalib mewakili PAS di P.086 Maran. Beliau juga merupakan seorang tokoh lulusan agama dari peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat ijazah. 

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini pernah bersekolah di Sekolah Menengah Ugama Chenor dan Sekolah Menengah Ugama Al-Ihsan Kuantan dan Kolej Islam Klang. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang Pengajian Islam. 

Bagi kerusi Dewan Negeri pula, PAS menawarkan 14 orang berstatus ulamak mewakili 14 daripada  24 kawasan yang diperuntukkan kepada parti itu. Mereka ialah:

  • Dato Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di N.04 Cheka.
  • Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin di N.09 Tahan.
  • Ustaz Zuridan Mohd Daud di N.10 Damak.
  • Ustaz Yohanis Ahmad di N.11 Pulau Tawar.
  • Ustaz Zulfadhli Zakariah di N.13 Semambu.
  • Ustaz Rosli Abdul Jabar di N.15 Tanjung Lumpur.
  • Ustaz Mohd Hafizal Mohamed Shah di N.16 Inderapura.
  • Ustaz Mohd Tarmizi Yahya di N.19 Panching.
  • Ustaz Fahrur Rozi Jalaluddin di N.23 Chini.
  • Ustaz Mujibur Rahman Ishak di N.26 Chenor.
  • Ustaz Md Anuar Daud di N.27 Jenderak.
  • Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz di N.29 Jengka.
  • Ustaz Shapuan Hussin di N.39 Kemayan.
  • Ustaz Nazri Ahmad di N.40 Bukit Ibam.

Daripada 24 orang asatizah ini dua orang merupakan calon yang mewakili Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, iaitu ketuanya Ustaz Zuridan Mohd Daud dan seorang AJK, Ustaz Mujibur Rahman Ishak. Sebelum ini, kedua-duanya adalah penyandang kerusi yang mereka tandingi iaitu, Damak dan Chenor. 

PERIKATAN NASIONAL Pahang mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya di 22 kawasan Dewan Negeri bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Kebanyakan tokoh ulamak ini berada di lokasi target PERIKATAN NASIONAL untuk menang. 

Dalam masa yang sama, Kawasan-kawasan lain yang diperuntukkan kepada PAS ditandingi oleh tokoh yang tidak kurang hebatnya dalam bidang masing-masing. Ada antara mereka jurutera profesional, teknologis profesional, ahli perniagaan, teknokrat, pendidik dan sebagainya.

Kewujudan mereka dalam saf hadapan PRU ke-15 bakal melengkapkan persediaan PAS dan PERIKATAN NASIONAL dalam mengemudi negeri ini sebagai ‘government in waiting’. 

PERIKATAN NASIONAL dilihat sangat bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negeri ini apabila menurunkan tokoh nasional yang telah berpengalaman menjadi Menteri di peringkat Persekutuan, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di kerusi DUN. 

Semoga Timbalan Presiden PAS ini akan dinobatkan sebagai Menteri Besar Pahang pada 20 November 2022 nanti insya-Allah!

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Ahli Jawatankuasa
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -