
KOTA BHARU: Calon PAS/PERIKATAN NASIONAL Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor mengakui mempunyai hubungan rapat dengan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Malah katanya beliau pernah membantu Ketua Umno Ketereh terbabit pada beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Saya pernah memberi undi kepada Tan Sri sehingga membolehkannya menjadi wakil rakyat Parlimen Ketereh beberapa penggal.
“Dan sekarang sudah sampai masanya beliau membantu saya pula pada pilihan raya kali ini kerana kami berkawan baik sejak sekian lama,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama calon PN Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Fathan Mahmood dan Setiausaha Bersatu negeri Nasrudin Abdullah.
Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat berkata, beliau berkawan dengan Annuar sejak belajar di Maktab Tentera Diraja.
Bagaimanapun katanya beliau terpaksa bekerja lebih kuat bagi meraihkan sokongan rakyat kepada PN.
“Gabungan jentera PAS dan Bersatu mampu menghadapi pertembungan empat penjuru di Ketereh iaitu PN, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Putra.
Menurutnya juga beliau terbabit dengan politik bagi membela nasib bekas-bekas tentera yang berdepan kesukaran hidup selepas menamatkan perkhidmatan.
Selain itu beliau bersama pemimpin PN mengajak rakyat menjauhi pemimpin yang terbabit amalan rasuah dengan menolak mereka pada PRU kali ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2022




















