
PADA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan November ini, buat pertama kali dalam sejarah negara kita rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan keluar mengundi. Sebelum ini hanya mereka berumur 21 tahun ke atas boleh mengundi. Ini selari dengan kebanyakan negara-negara dunia yang telah membenarkan mereka berumur 18 tahun ke atas mengundi. Di Asia Tenggara hanya Singapura yang masih menetapkan umur minima pada 21 tahun. Malah Indonesia dan Timor Leste membenarkan mereka berumur 17 tahun dan ke atas untuk mengundi.
Di dunia hanya tinggal beberapa negara yang masih menetapkan umur minima untuk mengundi pada 21 tahun. Di antara negara-negara itu adalah Kuwait, Lubnan, Oman dan Tonga. Sementara terdapat negara yang menurunkan had minima kepada 16 tahun seperti Cuba, Nicaragua, Ecuador dan Brazil. Begitu juga di Scotland dan Wales untuk Pilihan Raya Parlimen Tempatan dan Kerajaan Tempatan.
Undang-undang membenarkan mereka berumur 18 tahun ke atas mengundi dilaksanakan sekali dengan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR). Kesannya adalah pertambahan jumlah pengundi yang drastik. Pada bulan Januari tahun ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan terdapat 5.8 juta pengundi baharu. 1.2 juta adalah yang berumur 18 hingga 21 tahun dan selebihnya adalah yang berumur 21 tahun ke atas yang belum lagi mendaftar. Ini bermakna jumlah pengundi asal seramai 15.3 juta telah menjadi 21.1 juta akibat pelaksanaan tersebut.
Walau bagaimanapun peratus pertambahan pengundi adalah berbeza-beza menurut negeri. Terdapat negeri-negeri yang memiliki peratusan pertambahan yang lebih tinggi dari kebanyakan negeri. Contohnya bagi keseluruhan pertambahan, Selangor sekarang memiliki 3,677,848 berbanding 2,415,074 pada PRU 2018 atau pertambahan 52 peratus (1,262,774). Sementara Johor sekarang memiliki 2,616,575 pengundi berbanding 1,817,458 iaitu pertambahan sebanyak 44 peratus (799,117).
Sudah tentu parti-parti politik akan berusaha untuk menarik pengundi-pengundi muda ini dan juga mereka yang tidak mendaftar. Di antara strategi mereka adalah meletakkan calon-calon yang segar dan menawarkan pakej-pakej di dalam manifesto yang sesuai dengan keperluan pengundi yang menjadi sasaran mereka. Program-program yang dianjurkan ketika kempen juga perlu untuk menarik minat mereka. Sama ada sesuai untuk golongan muda atau yang dapat menarik mereka yang sebelum ini tidak meminati politik justeru tidak pernah mendaftar.
Dengan hari penamaan calon bagi PRU15 semakin hampir, parti-parti telah mula mengumumkan calon-calon mereka. Terdapat ramai calon-calon muda yang dipersembahkan kepada rakyat untuk dipilih pada 19 November nanti. Susah hendak dipastikan sama ada pemilihan mereka berdasarkan kebolehan dan keupayaan atau hanya mengambil kira pelaksanaan Undi18. Walau apa sekali alasannya penampilan calon-calon muda ini adalah sesuatu perkembangan baik.
Tetapi parti-parti perlu serius di dalam usaha untuk memastikan calon-calon muda mereka terpilih menjadi seorang wakil rakyat. Jangan pula diletakkan mereka di kawasan-kawasan yang tidak ada harapan untuk menang seperti meletakkan mereka di kubu kuat parti lawan. Justeru penampilan mereka hanya satu publisiti untuk menunjukkan bahawa mereka prihatin terhadap pengundi muda. Jika mana-mana parti serius di dalam hal ini maka letakkan mereka di kawasan-kawasan selamat. Tidak ada guna menampilkan calon-calon muda tetapi tidak ada harapan untuk menang. Ia tidak sepatutnya seperti ‘meletakkan batuk di tangga’.
Minggu lepas dunia melihat UK mendapat Perdana Menteri baharu yang telah mencipta sejarah. Pertama beliau, Rishi Sunak, adalah Perdana Menteri pertama UK yang bukan kulit putih. Sunak berketurunan India. Kedua beliau dilaporkan memiliki aset yang lebih banyak dari Raja England, King Charles III. Ketiga beliau menjadi Perdana Menteri hanya 7 tahun selepas menjadi Ahli Parlimen. Tempoh tersebut lebih singkat dari David Cameron juga dari Parti Konservatif yang menjadi Perdana Menteri 9 tahun dari mula-mula menjadi Ahli Parlimen. Keempat yang paling penting beliau berumur 42 tahun. Ini menjadikan beliau Perdana Menteri termuda UK dalam tempoh 200 tahun. Ia sekali gus menunjukkan kepada dunia betapa UK yang memiliki di antara Parlimen yang paling tua di dunia telah memberi kepercayaan kepada orang muda.
Ke mana pengundi 18 hingga 21 tahun dan pengundi kali pertama ini akan mengundi hanya akan diketahui pada 19 November ini. Tetapi terdapat penganalisis yang meramalkan media sosial akan memainkan peranan yang penting di dalam mempengaruhi mereka. Calon-calon yang aktif dan popular di media sosial akan mendapat perhatian pengundi. Mereka yang membawa isu-isu yang berkait rapat dengan orang muda akan mendapat perhatian yang lebih. Di antaranya adalah isu-isu peluang pekerjaan, pendidikan tinggi dan bantuan untuk memulakan perniagaan.
Sehubungan itu, parti-parti politik tidak boleh terlalu mudah untuk mempercayai mitos bahawa pengundi muda senang disogok dengan telefon bimbit, simkad, jersi bola sepak, minyak motosikal atau ‘goodies-goodies‘ yang lain. Pengundi muda perlu dilayan seperti pengundi dewasa yang lain. Kadang-kala mereka lebih kritikal dari pengundi yang berumur. Jangan memandang rendah kepada mereka. Dialog dan diskusi intelektual sangat relevan untuk mereka. Beberapa hari lepas anak saya yang berumur 15 tahun bertanya kepada saya mengenai Yayasan Akal Budi. Bayangkan jika pelajar berumur 15 tahun berminat dengan kes mahkamah tersebut, sudah tentu kes itu tidak terlepas dari perhatian pengundi 18 tahun.
Ada yang membuat ramalan yang berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, pengundi muda tidak akan memberi kesan besar kepada PRU15. Hujah mereka bilangan pengundi muda yang keluar adalah rendah. Ada yang menganggarkan tidak lebih dari 30 peratus dari pengundi muda yang layak telah keluar mengundi. Walau bagaimanapun. keadaannya adalah berbeza. Kali ini pengundi berpeluang untuk memilih kerajaan di peringkat Persekutuan. Seluruh negara terlibat dan sudah tentu terdapat satu gelombang yang tidak ada pada kedua-dua PRN tersebut. Peratus yang keluar mengundi sudah tentu lebih tinggi dari di Melaka dan Johor. Ia juga satu peluang bagi pengundi untuk menghukum mereka yang memaksa PRU diadakan pada musim tengkujuh.
PRU15 ini sepatutnya dinamakan sebagai PRU18 kerana ia pertama kali melibatkan pengundi-pengundi berumur 18 tahun dan ke atas. Ketika Joe Biden (Demokrat) menewaskan Donald Trump (Republikan) untuk memenangi Pilihan Raya Presiden USA tahun 2020, pengundi muda telah memberi sokongan kepada Biden walaupun dia berumur 77 tahun ketika itu. Menurut Centre for Information & Research on Civic Learning and Engagement (CIRCLE) di sana, 61 peratus pengundi muda menyokong Biden dan 36 peratus menyokong Trump. Di negeri-negeri di mana terdapat saingan, pengundi muda 18 hingga 29 tahun telah memberi sokongan kepada Biden. Agaknya parti mana di Malaysia yang menjadi tumpuan pengundi muda seperti Demokrat di USA?
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
28 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 28/10/2022




















