Bumi tuju malapetaka besar- PBB

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

MUNICH: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran terbaharu bahawa bahawa planet bumi kini sedang menuju kepada ‘malapetaka iklim’ besar-besaran apabila laporan menunjukkan sejauh mana negara-negara seluruh dunia tidak serius dalam usaha mengurangkan pencemaran yang mengakibatkan pemanasan global.

Program Alam Sekitar PBB (UNEP) mengeluarkan laporan Jurang Emisi tahunannya pada hari Khamis (27 Okt) waktu tempatan, yang menunjukkan bahawa komitmen semasa oleh kerajaan negara-negara di seluruh dunia dalam membendung kenaikan suhu global adalah sangat tidak mencukupi, lapor Al-Jazeera

“Namun, dasar iklim kerajaan semasa negara-negara di seluruh global menjadikan dunia berada di landasan yang betul untuk mencapai purata kenaikan suhu 2.8 darjah Celsius (5 darjah Fahrenheit) abad ini,” ujar laporan itu, 

Sementara itu, pelaksanaan ikrar semasa akan menurunkan kenaikan suhu kepada 2.4 hingga 2.6 darjah Celcius abad ini.

Pegawai kerajaan negara-negara seluruh dunia akan mengadakan pertemuan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 27) dari 6 hingga 18 Nov ini di Mesir untuk membincangkan cara mengehadkan pemanasan kepada di bawah 2 darjah Celcius di atas paras pra-industri dan idealnya kepada 1.5 darjah Celcius.

Pada tahun lepas, pemimpin-pemimpin dunia membuat ikrar tambahan pada sidang kemuncak COP 26 di Glasgow dengan harapan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke angkasa yang boleh membawa kepada pemanasan global.

“Kami mempunyai peluang untuk membuat perubahan tambahan, tetapi tempoh masa itu sudah berakhir. Hanya transformasi di peringkat akar dan cabang ekonomi; dan masyarakat kita boleh menyelamatkan bumi daripada mempercepatkan bencana akibat iklim ekstrem,” kata Pengarah Eksekutif UNEP, Inger Andersen.

Tambah laporan tersebut, bagi mencapai matlamat mengehadkan pemanasan kepada 1.5 darjah Celcius, pelepasan tahunan gas rumah hijau wajib dikurangkan sebanyak 45 peratus berbanding dengan ramalan pelepasan di bawah dasar semasa. Langkah itu memerlukan pelaburan sekurang-kurangnya AS$4 hingga AS$6 trilion setahun, kata laporan itu.

“Satu tahun lagi disia-siakan dari segi melakukan sesuatu mengenai masalah pemanasan global. Itu bukan untuk mengatakan bahawa semua negara tidak mengambil serius perkara ini. Tetapi dari perspektif global, ia pastinya sangat jauh dari memadai,” komen pengarang utama laporan berkenaan, Anne Olhoff.

Dalam pada itu, laman web news.un.org/ melaporkan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menegaskan bahawa tiada laluan yang boleh dipercayai untuk mencapai 1.5 darjah Celcius pada ketika ini, walaupun janji-janji yang mengikat secara sah dibuat pada Persidangan Iklim Paris 2015 untuk mengelakkan purata suhu meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celcius.

“Laporan ini memberitahu kita dalam istilah saintifik apa yang alam cuba beritahu kita sepanjang tahun ini – melalui malapetaka banjir, ribut dan kebakaran dahsyat di seluruh dunia yang menyebabkan banyak kematian dan kecederaan dan kerugian yang besar.

“Kita perlu berhenti mengisi atmosfera kita dengan gas rumah hijau, dan perlu bertindak dengan pantas,” tegas Anderson. 

Menurut UNEP, walaupun janji Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) telah dibuat oleh kerajaan negara-negara yang memihak kepada pengurangan pelepasan karbon di negara-negara mereka sendiri, ikrar yang dibuat sejak sidang kemuncak iklim terakhir di Glasgow pada 2021 itu hanya akan membawa kepada pengurangan gas hijau kurang daripada satu peratus daripada unjuran pelepasan gas rumah hijau 2030. – HARAKAHDAILY 28/10/2022

- Advertisement -