
MAKLUMAT yang ingin saya kongsikan mengenai bagaimana pihak perisikan Mossad merekrut pengkhianat untuk bekerja bersama mereka ini bukan rahsia, malah kaedah-kaedah ini digunakan ke atas penduduk Palestin khususnya Gaza dan penduduk di sini sejak usia awal diajar mengenai kaedah ini untuk mengelakkan mereka daripada termasuk ke dalam perangkap.
Kaedah ini meliputi dua proses, pertamanya proses memancing mangsa dan kedua proses mengeksploitasi penduduk yang telah masuk ke dalam perangkap.
Antara kaedah memancing mangsa yang digunakan musuh ialah;
1. Perangkap melalui laman-laman web untuk mencari pekerjaan.
Krisis ekonomi yang teruk di Palestin menjadikan anak muda khususnya tercari-cari peluang pekerjaan dan biasanya mereka mencari ruang ini melalui internet. Pihak musuh membangunkan laman web palsu dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk secara ‘online’, biasanya tanpa memaklumkan siapa mereka. Penduduk yang bersetuju untuk menerima pekerjaan akan melalui proses eksploitasi.
2. Tawaran rawatan ahli keluarga yang sakit tenat.
Peluang mendapatkan rawatan untuk pesakit kronik dan kritikal di Gaza perlu dilakukan di luar memandangkan kekurangan infrastruktur dan kepakaran di sini. Ia biasanya mengambil masa berbulan-bulan malah mungkin bertahun bermula mendapatkan angka giliran, keizinan untuk bermusafir ke tanah dijajah, kemudian proses musafir dan rawatan itu sendiri. Terdapat penduduk yang dihubungi dan ditawarkan ‘short cut’ menyelamatkan nyawa orang tersayang dengan balasan khidmat tertentu dan apabila bersetuju, penduduk ini juga mula dieksploitasi.
3. Ditahan ketika keluar masuk di sempadan.
Ada juga penduduk yang ditahan di sempadan sebelah Erez (antara Gaza dan tanah haram Israel), disoal-siasat, diugut dan ditawarkan untuk ‘bekerja’ dengan musuh.
Biasanya mereka yang telah masuk ke dalam perangkap bukanlah terus terjun dengan rela untuk menjadi pengintip kepada musuh walaupun ada juga yang memang bersedia mengkhianati agama demi wang ringgit dan sebagainya. Tetapi mereka akan ditugaskan dengan perkara kecil dahulu kemudian diugut akan didedahkan sebagai pengintip kepada pihak Palestin akibat tugasan awal mereka sehingga akhirnya mereka terpaksa melaksanakan tugasan lebih besar dengan ‘paksa rela’ sehingga akhirnya menjadi ‘alah bisa tegal biasa’.
Contohnya, mereka yang ditipu melalui laman web untuk diberi peluang pekerjaan, ditugaskan untuk melaporkan pergerakan jiran mereka yang merupakan pimpinan setempat. “Kau hanya maklumkan saja si fulan jam berapa dia keluar, jam berapa dia balik,” bunyi macam arahan biasa-biasa.
Tetapi setelah satu tempoh melaporkan pergerakan si fulan, mangsa akan dihubungi dan dimaklumkan bahawa dia telah bekerjasama dengan pihak musuh dan akan ditugaskan dengan perkara lebih besar, contohnya memaklumkan sama ada pemimpin tersebut berada di rumah atau tidak pada waktu perang meletus.
Sekiranya enggan untuk terus bekerjasama, musuh akan memaklumkan bahawa segala perbualan mereka telah dirakam dan akan dihantar kepada pihak Palestin di mana hukuman sebagai pengkhianat sangat berat, dia dan keluarga akan dicop pengkhianat dan sebagainya.
Sebahagian mangsa yang takut (dan tamak) akan tunduk lebih-lebih lagi bila ada habuan wang ringgit, sedangkan sebahagian lain akan terus melaporkan kepada pihak berkuasa Palestin atau mengaku bersalah dalam tempoh pengampunan yang selalu dibuat pihak berkuasa.
Setiap mangsa biasanya akan diurus oleh seorang ‘handler’ sahaja, maka mereka langsung tak pernah berinteraksi sesama mereka atau mengetahui lebih daripada seorang pegawai musuh yang menguruskan mereka.
Dalam kes yang berlaku di Malaysia, jujurnya apabila perincian operasi disebutkan kepada rakan-rakan saya di Gaza, mereka mengatakan bahawa mustahil ia kerja Mossad kerana terlalu banyak kecuaian yang berlaku, tidak konsisten dengan gerak kerja biasa musuh.
Bayangkan semasa pemimpin utama Palestin Mazen Fuqaha’ dibunuh di Gaza, beberapa pengintip bertanggungjawab dalam operasi daripada yang memerhatikan gerak-gerinya, sampailah yang diarah membawa motosikal daripada titik A ke titik B kemudian ditinggalkan, senjata yang diambil di lokasi tertentu kemudian dilupuskan dan ini semua berlaku tanpa interaksi antara anasir terlibat.
Kisah ini ada didedahkan dalam media tempatan pasca soal-siasat dan hukuman bunuh ke atas pengintip tempatan Gaza bernama Ashraf Abu Laila yang ternyata bertanggungjawab membocorkan rahsia yang menyebabkan pembunuhan begitu ramai pimpinan Palestin. Pihak perisikan musuh juga dalam operasi yang betul-betul signifikan buat mereka biasanya akan menghantar pengintip yang berpengalaman dan tidak hanya mengharapkan tangan-tangan pengkhianat tempatan.
Pandangan saya kalau betul kes culik yang berlaku adalah tindakan tangan-tangan perisikan musuh melalui pengkhianat tempatan, ia sama ada dirancang dengan terlalu tergesa-gesa atau pihak musuh tak takut pun kalau operasi tersebut terdedah bermakna kalau betul ia tindakan mereka, kita sebagai sebuah negara wajib mengambil tindakan berat ke atas pencerobohan kedaulatan tanah air kita. Jangan sampai kita dianggap terlalu lemah dalam mengambil tindakan seperti apa yang berlaku selepas pembunuhan Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur tahun 2018.
Dalam Islam pengkhianat agama dan negara hukumannya mati. Jadikanlah ia pengajaran kepada kita semua dan yakinlah bahawa musuh kita berada di mana-mana, tidak pernah tidur dan tidak pernah leka, pagi petang siang dan malam berusaha memecahkan kekuatan ummah dan memastikan Islam tak akan bangkit semula.
MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN – HARAKAHDAILY 21/10/2022




















