
PERJUANGAN untuk memperkasa kedudukan perundangan serta institusi kehakiman syariah adalah antara keutamaan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia adalah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha yang bersungguh-sungguh telah digerakkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan.
Sebagaimana yang kita semua maklum, institusi Mahkamah Syariah merupakan salah satu daripada dua sistem keadilan yang ada di negara kita. Walaupun ia terletak di bawah kuasa negeri-negeri namun, Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat dan bergandingan bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri- negeri terhadap keperluan Mahkamah-mahkamah Syariah.
Penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai agensi penyelaras peringkat Persekutuan adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap perkembangan mahkamah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.
Selari dengan perkembangan institusi Mahkamah Syariah, hal ehwal berkaitan pendakwaan Syariah, penguatkuasaan Syariah dan guaman syarie hendaklah bergerak seiringan. Pemerkasaan Mahkamah Syariah tidak boleh terpisah sama sekali dengan pendakwaan, penguatkuasaan dan guaman syarie kerana tiga komponen institusi ini amat berkait rapat dan memerlukan antara satu sama lain.
Dalam tempoh setahun mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ada 3 perkara penting yang telah diusahakan:
1. Penubuhan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Othman Mustapha, mantan Ketua Pengarah JAKIM dan dianggotai oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada golongan ilmuan dan pentadbir. Jawatankuasa ini sedang melihat secara spesifik, perkara-perkara penting yang perlu ditambah baik dalam pentadbiran Mahkamah Syariah secara holistik.
Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah ini dianggotai oleh tokoh-tokoh dalam negara yang pakar dalam pelbagai bidang di bawah JKMMS iaitu :
i. Pengharmonian antara Undang-undang Sivil dan Undang-undang Syariah;
ii. Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355];
iii. Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah;
iv. Latihan Hakim dan Pegawai Syariah;
v. Pendidikan Undang-undang Syariah; dan
vi. Hal-ehwal berkaitan Peguam Syari’e.
2. Penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah Persekutuan). Usaha untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie telah bermula sejak tahun 1984 lagi. Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil telah meneruskan usaha penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) sehingga selesai. Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah-wilayah Persekutuan) [Akta 814] telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019 dan seterusnya telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 yang lalu.
3. RUU 355 Perkara ketiga, berkaitan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) RUU355. Memorandum Jemaah Menteri Mengenai Cadangan Dasar Penggubalan RUU 355 telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2022 dan Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU355. Draf RUU355 juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022. Tentunya usaha ini dilaksanakan bersungguh-sungguh mengikut lunas dan tertib yang sepatutnya. Ini adalah komitmen kita sejak dahulu lagi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
Selain itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengambil usaha memperkasa RUU Mufti dan RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan). Memorandum Jemaah Menteri Dasar Penggubalan RUU Mufti dan RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 September 2022 dan telah dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat tersebut.
RUU Mufti dan RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) telah dikemukakan kepada Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 19 September 2022 untuk semakan dan kelulusan.
Tentunya penerusan kepada usaha-usaha yang digerakkan ini adalah amat penting untuk memperkasa institusi kehakiman dan perundangan syariah. Ia perlu dilaksanakan mengikut lunas dan tertibnya. Melalui kerjasama strategik Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama pihak berkuasa agama Islam negeri serta lain-lain pihak-pihak berautoriti, hasrat untuk memperkasa kedudukan institusi kehakiman dan perundangan syariah akan menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 20/10/2022




















