
Oleh NORHANA MAT ZIN
PUTRAJAYA: Sepanjang menjalankan amanah sebagai Menteri, beliau telah mamacu langkah memperkemaskan urusan tadbir Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui pendekatan ‘Inisiatif Mantap’, sehingga ia bukan sahaja berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah sukses dalam memelihara dan menjaga hal ehwal Islam di negara ini.
Selepas dilantik secara rasmi pada 30 Ogos 2021, Senator Datuk Idris Ahmad tanpa berlengah terus mengorak langkah memperkemaskan urusan tadbir 14 agensi Islam di bawah jabatan berkenaan, serta memeta hala tuju dakwah, dengan keprihatinan bermatlamat bagi menjaga kebajikan umat Islam, khususnya di negara ini.
Idris berkata, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran beliau, gabungan tenaga daripada kesemua 14 buah agensi Islam berkenaan telah memberi fokus kepada program-program yang bersifat ‘action-oriented’ (berorientasikan tindakan).
“Sehubungan itu, KPI turut berjaya dicapai melalui 208 program yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Idris berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Islam kali ke-7 anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), dan Yayasan Waqaf Malaysia yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Dato’ Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia, Prof. Dr. Amir Shaharuddin; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajjah Hakimah Mohd Yusoff; dan Pengarah JAKIM, Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Menurutnya, majlis pada hari ini merupakan perhimpunan rasmi terakhir beliau dan Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary bersama seluruh warga agensi Hal Ehwal Islam sebelum Malaysia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka pada November ini.

“Amanah untuk mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah satu taklifan berat. Portfolio ini penting untuk menjaga agama dan umat Islam.
“Syukur, alhamdulillah, saya berasa kuat dan bersemangat kerana disokong serta didokong oleh Timbalan Menteri, ketua-ketua dan seluruh warga 14 agensi Islam di bawah jabatan ini yang kesemua penuh bersemangat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sepanjang pentadbirannya,-agensi-agensi Islam di bawah jabatan itu telah berjaya melaksanakan lima ‘Inisiatif Mantap’ yang terdiri daripada pemantapan mental, jasmani dan rohani; pemantapan sistem pendidikan Islam; pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam; pemantapan institusi masjid dan surau; dan pemantapan sosio-ekonomi ummah.
“Kelima-lima aspek tersebut dipacu oleh Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, kesemua pelaksanaan berkenaan adalah usaha pihak kerajaan ingin membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19.
“Justeru, agensi-agensi Islam di Malaysia dapat membuktikan bahawa ia sentiasa bergerak tangkas, pantas dan sentiasa cakna kepada permasalahan semasa umat Islam,” katanya.
Sehubungan itu, Idris turut menyatakan ada beberapa perkara penting yang telah diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semasa di bawah pentadbiran beliau.
“Antaranya, usaha membangunkan Dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera sebagai pelantar kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu.
“Dokumen tersebut telah diurusetiakan bersama oleh JAKIM dan IKIM dan telah berjaya kita keluarkan blue-print nya dan sudah diedarkan di peringkat pembuat dasar, termasuk agensi-agensi kerajaan.

“Dalam konteks agensi hal ehwal Islam, dokumen tersebut sudah berada di peringkat pelaksanaan,” jelasnya.
Menurut Idris, pada minggu lepas, beliau bersama JAKIM telah mengadakan dialog harmoni bersama Ahli Jawatankuasa Keharmonian antara penganut agama (harmoni).
“Perkara ini merupakan salah satu usaha yang perlu ditonjolkan agar Islam menjadi agama kedamaian yang sentiasa menjulang tinggi nilai perpaduan dan keamanan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata agensi-agensi Islam telah berjaya menggerakkan program-program secara ‘quick-win’ dan ada yang bersifat jangka panjang.
“Antaranya ialah Plan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19); Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026, Penubuhan Pusat Penyelidikan Hadith, dan Manual Komuniti Hijrah LGBT.
“Juga Program Ar-Rahnu Bisnes dan BIZNITA; Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat (i-sign) kepada Komuniti OKU; Perbincangan Meja Bulat Pelaksanaan Konsep Pampasan Dalam Islam (Diyat); Mashaf Al-Quran Braille Malaysia; Pelancaran Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi oleh Seri Paduka Baginda YDPA; JAWI Food Bank; dan Bulan Wakaf Kebangsaan 15.

Sehubungan itu, Idris turut memberitahu Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama bersama-sama 14 agensinya turut memperkenalkan program Inisiatif Lelaki Qawwam.
“JAKIM telah menyediakan Pelan Lelaki Qawwam sebagai blue-print pelaksanaan agenda ini yang akan kita lancarkan pada minggu hadapan.
“Inilah antara usaha kita untuk membina negara yang sejahtera. Ia bermula daripada sesebuah keluarga,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada JAKIM, MAIWP, JAWI, YaPEIM, YADIM, JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia dan seluruh agensi di bawah jabatan di bawah kepimpinan beliau atas usaha membantu golongan asnaf di Malaysia.
“Ini dapat dibuktikan melalui satu program Tabung Musa’adah Agensi Hal Ehwal Islam. Dalam tempoh September 2021 hingga September 2022, sebanyak RM 305,858,877.41 (RM 305.85 juta) telah diagihkan kepada golongan asnaf, B40 dan mereka yang terkesan akibat Covid-19 dan lain-lain musibah yang menimpa masyarakat,” jelasnya.

Tambah Idris, pada 2021, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) secara agresif telah mengagihkan zakat sebanyak RM725.14 juta menerusi pelbagai skim bagi membantu golongan asnaf.
“Agihan tersebut telah memanfaatkan secara langsung kepada 216,525 orang asnaf penerima bantuan.
“Bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Ogos 2022 pula, MAIWP telah mengagihkan zakat berjumlah R 511.07 juta kepada asnaf dan masyarakat yang memerlukan melalui pelbagai skim bantuan,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan Waqaf Malaysia telah membangunkan projek WATANI (Wakaf Pertanian Bersepadu) di atas tapak tanah wakaf seluas 10 ekar di Presint 20, Putrajaya.
“Peruntukan sebanyak RM3 juta telah diberikan untuk membangunkan projek Wakaf Tani ini. Melalui program ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada asnaf.

“Melalui Yayasan Waqaf Malaysia juga kita telah memperkenalkan program-program seperti Wakaf Halal PKS dan sebagainya.
“Contohnya, baru-baru ini ini MAIWP telah lancarkan program Bijaktani Hidroponik di PPR Pinggiran Bukit Jalil untuk melatih asnaf kita dalam pertanian moden ini,” katanya.
Justeru, ujar beliau, kerjasama daripada JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu-isu perundangan Islam dan kehakiman syariah.
“Sebagai contoh di peringkat Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, jumlah pengendalian kes pada tahun 2022 sebanyak 819 kes dan jumlah kes selesai bagi tahun semasa sekitar 456 kes,” ujar Idris.
Beliau turut memberitahu bahawa Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dengan kerjasama agensi di bawahnya turut berjaya menganjurkan program-program rasmi anjuran Kerajaan.
“Antaranya Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW di peringkat kebangsaan dengan jayanya. Pada Minggu ini (19-24 Oktober) kita menganjurkan pula Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di KLCC,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pencapaian paling membanggakan adalah kejayaan Operasi Haji Musim 1443H setelah dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
“Lembaga Tabung Haji telah berjaya menguruskan seramai 14,306 jemaah haji negara pada musim kali ini. “Sebagai kerajaan yang prihatin kepada kebajikan jemaah, bantuan kewangan haji oleh Tabung Haji pada tahun ini telah diberikan hampir RM200 juta,” ujar beliau.

Selain, Idris memberitahu bahawa Malaysia turut mendapat kepercayaan daripada Rabitah Al-‘Alam Al-Islami dalam menganjurkan Persidangan Ulamak Asia Tenggara pada bulan Jun 2022 yang lalu.
“Penganjuran persidangan tersebut telah melonjak nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa progresif menterjemahkan keindahan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliaui, dalam tempoh sepanjang mengepalai jabatan berkenaan, agensi-agensi Islam telah menempa beberapa kejayaan yang wajar untuk diangkat dan diberikan pujian.
“Antaranya, TV Al-Hijrah berjaya merangkul anugerah ASEAN Most Promosing Islamic TV Station oleh Indonesia Award Magazine, Penganugerahan Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 kepada Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC JAKIM), engiktiragan Malaysin Book of Record buat YADIM, Tazkirah Interaktif Sirah Nabawiyyah 24 jam Tanpa Henti, dan penerimaan sijil audit bersih penyata kewangan (4 tahun berturut-turut) oleh YADIM,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang beliau berada di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Akhir sekali, saya memohon agar semua warga Malaysia mendoakan Datuk Marzuk Shaary dan saya agar terus istiqamah berjuang meninggikan kalimah Allah di bumi Malaysia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2022




















