Umat Islam jangan sesekali berdukacita

- Advertisement -

UMAT Islam jangan berdukacita terhadap manusia yang membalas tuba setelah diberi bunga. Kerja kita adalah kerja harakah, dakwah dan tarbiyah. 

Kita angkat sesiapa yang rebah. Kita papah mana yang parah. Kita padamkan segala gundah. Kita tidurkan resah gelisah. Kuasa dan kedaulatan yang dicari adalah untuk kesejahteraan ummah.

Biarkan manusia bongkak mendabik dada. Segala kuasa seolah-olah dialah punya. Jangan dilayan suara yang memberi kata dua agar kita menuruti segala hajatnya. Kita berlapang dada dan sabar dengar perancangan-Nya. Kerana rancangan Allah itu pasti lebih baik daripada apa yang kita jangka.

Mereka mengamal politik fitnah membina persepsi. Perkiraan dosa dan pahala dalam politik ditolak tepi. Hawa dan nafsu menguasai diri. Tak ada satu kebaikan yang mereka boleh berkompromi. Namun kita teruskan perjuangan yang murni ini. Demi kesejahteraan ibu pertiwi.

Kadang-kadang kebenaran memang sukar difahami. Kejujuran adalah rahsia hati dan budi. Kebenaran dinilai dari sudut apa yang boleh diberi. Namun kebaikan pasti ada sirna yang menanti. 

Sedangkan Nabi dibaling batu sehingga mengalir darah ke kaki. Perjuangan kita yang tiada apa ini jangan sesekali diberhenti. Selagi al-Quran dan Sunnah menjadi panduan hati. Islam akan sentiasa bertapak di bumi ini.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -