Tidak bubar DUN sehingga Mac 2023 satu kebijaksanaan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

مَنْ جَاۤءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهٗ عَشْرُ اَمْثَالِهَا ۚوَمَنْ جَاۤءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزٰٓى اِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُوْنَ.

“Barang siapa berbuat satu kebaikan maka untuknya balasan sepuluh kali ganda seumpamanya. Dan barang siapa berbuat satu kejahatan maka tidaklah dibalas melainkan sama dengan dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dizalimi”.

(Al-An’aam: 160)

Pendirian kerajaan tiga buah negeri yang dipimpin oleh PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri sebelum Mac 2023 adalah suatu yang seharusnya dicontohi dan dipuji.

Ini memandangkan keutamaan adalah memastikan pelaksanaan tanggungjawab manifesto yang belum selesai dalam tempoh yang masih berbaki. Tambahan pula pilihan raya akan memakan belanja yang tinggi lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu mutakhir ini.

Keputusan ini membuktikan Politik Islam berbeza dengan politik lain yang hanya memikirkan kedudukan, kuasa, kepentingan diri dan kumpulan semata-mata.

Politik Islam mengambil kira jawatan adalah satu amanah yang bukan hanya akan dipersoalkan oleh rakyat di dunia, bahkan ianya adalah tanggungjawab dan amanah yang pasti akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di akhirat. Tindak-tanduk yang dilakukan akan melibatkan dosa dan pahala.

Jawatan akan menjadi aset pahala yang besar jika dilaksanakan secara telus penuh bertanggungjawab dan berakauntabiliti, namun ianya menjadi penyesalan di akhirat jika ianya dicuaikan dan disalahgunakan begitu sahaja.

Justeru PAS Johor menyokong penuh pendirian tiga kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS dalam hal ini. Semoga ianya menjadi teladan dan contoh kepada negeri lain dan kerajaan Malaysia demi kepentingan kesejahteraan negara dan rakyat. 

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.
12 Safar 1444
9 September 2022 – HARAKAHDAILY 9/9/2022

- Advertisement -