Liga Eropa: Nasib berbeza Man United dan Arsenal

Brais Mendez menjaringkan gol untuk Real Sociedad melalui sepakan penalti
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Manchester United memulakan kempen Liga Europa dengan buruk apabila tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Real Sociedad, manakala pemain baharu Arsenal, Marquinhos menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 di FC Zurich, semalam.

Seluruh stadium diminta senyap seminit di Zurich berikutan berita kematian Ratu Elizabeth Britain, namun sesi yang sepatutnya senyap dicemari ejekan sesetengah penonton di Switzerland.

- Advertisement -

“UEFA dan bola sepak Eropah, benar-benar berdukacita di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Ratu Elizabeth II, antara tokoh paling disegani di dunia,” kata badan induk bola sepak Eropah, UEFA dalam satu kenyataan.

“Hati kami adalah bersama keluarga dan Presiden Persatuan Bola Sepak Inggeris, Putera William, serta rakyat United Kingdom dan Komanwel.”

Di Stadium Allianz Riviera di selatan Perancis, perlawanan Liga Europa antara Nice dan Cologne ditangguhkan hampir sejam berikutan kekecohan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan menyebabkan seorang penyokong berada keadaan kritikal.

Di Old Trafford, United bermula dengan memaksa Real Sociedad berkubu di kawasan mereka dengan Christian Eriksen mencari ruang untuk Anthony Elanga dan Ronaldo, namun pasukan Sepanyol itu bertahan hasil kesungguhan bek tengah mereka.

Ronado menjaringkan gol pada separuh masa pertama, hanya untuk melihat bendera ofsaid dinaikkan.

Eriksen digantikan oleh Bruno Fernandes pada separuh masa kedua, namun United kelihatan kurang kreativiti menyebabkan Real Sociedad bertambah yakin.

Mereka mendapat ganjaran pada minit ke-59 apabila Brais Mendez menyempurnakan sepakan penalti berikutan bola terkena tangan Lisandro Martinez.

Keputusan itu meletakkan United di tempat ketiga dalam Kumpulan E, di belakang Real Sociedad dan pendahulu, Sheriff Tiraspol, yang menewaskan Omonia Nicosia 3-0.

Pemain Real Sociedad meraikan jaringan Brais Mendez

Lazio mengungguli Kumpulan F selepas dua gol Matias Vacino, membantu menewaskan Feyenoord 4-2 di Rome.

Terdahulu, Marquinhos memulakan aksinya bersama Arsenal dengan bergaya apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi gol dalam aksi pembukaan Kumpulan A menentang Zurich.

Pemain Brazil berusia 19 tahun itu yang sebelum ini mewakili Sao Paulo, membuka jaringan dan kemudian menjadi perancang untuk jaringan kemenangan Eddie Nketiah selepas gol penyamaan Mirling Kryeziu dengan penalti.

Dalam perlawanan lain kumpulan itu, PSV Eindhoven bermula sederhana apabila diikat 1-1 di gelanggang sendiri oleh Bodo/Glimt, manakala AS Roma, yang memenangi Liga Europa musim lalu, mencatat kemenangan 2-1 di Ludogorets dalam Kumpulan C.

Dalam perlawanan lain kumpulan itu, Real Betis mencatat kemenangan 2-0 di HJK Helsinki dengan dua gol Willian Jose.

Pasukan Gunners yang dirombak mendahului apabila Nketiah menghantar bola untuk Marquinhos yang merembat ke penjuru atas pada penghujung serangan balas pantas selepas 16 minit.

Pasukan London itu terus menguasai perlawanan, tetapi tuan rumah mengharungi badai dan menyamakan kedudukan apabila Kryeziu dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Nketiah menjatuhkan Fidan Aliti.

Bagaimanapun, Nketiah menebus kesilapannya pada minit ke-62 dengan menanduk masuk hasil hantaran lintang Marquinhos untuk memberikan pendahulu Liga Perdana itu, tiga mata yang sepatutnya.

- Advertisement -