Ketatkan saringan menjadi calon pilihan raya

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada cadangan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) baru-baru ini agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding supaya individu yang terlibat dalam mana-mana perbicaraan mahkamah atas kes salah laku, penyelewengan dan rasuah dihalang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU). DUPP berkata seseorang calon yang sedang berdepan tuduhan rasuah serta bersalah tidak layak untuk menjadi calon bagi mempertingkatkan usaha mengelakkan institusi kepimpinan negara akan datang terpalit dengan gejala ini.

Saya berpendapat, sesuai dengan penambahan undi dari golongan pengundi berusia 18 tahun pada pilihan raya akan datang, seharusnya kita perlu memberi satu gambaran yang baik kepada pengundi muda bahawa calon-calon yang ditonjolkan dalam pilihan raya adalah sebaik-baik individu untuk mengemudi kepimpinan negara. 

Bahkan, dengan saringan ketat yang menolak calon-calon yang sedang melalui perbicaraan mahkamah, kita tak akan mengalami masalah ketiadaan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang meninggalkan kekosongan kerusinya dan membawa kepada Pilihan Raya Kecil. Sudah pasti tenaga dan kos mengadakan Pilihan Raya Kecil ini dapat dijimatkan.

Malahan, pada tahun 2022 ini, negara kita sebenarnya tidak ketandusan golongan intelektual dan profesional yang bersih untuk dipilih sebagai calon pilihan raya. Setiap parti yang bertanding di pilihan raya sudah pasti memiliki puluhan nama calon yang sesuai dan bersih bagi setiap kerusi yang dipertandingkan.

Saya ingin menekankan paling penting dalam usaha saringan yang ketat ini adalah menyampaikan mesej bahawa untuk negara kita menjadi maju ke hadapan setanding dengan negara-negara maju adalah dengan meletakkan barisan calon yang berwibawa dan berintegriti. Saya melahirkan harapan agar SPR selaku agensi utama dalam pengurusan pilihan raya akan mempertimbangkan cadangan yang sangat signifikan ini. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -