
Oleh ASLANI M
ALOR SETAR: Menjelang muktamar PAS kali ke-68 esok, hari ini hari kedua berlangsung muktamar sayap-sayap utama PAS iaitu Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Muslimat PAS Malaysia dan konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
Manakala hari ini Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambung lagi muktamar masuk kedua, selepas ditangguh malam tadi yang turut menampilkan kehadiran Menteri Besar Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden PAS Senator Dato Idris Ahmad.
Suasana pagi ini agak redup apabila hujan membasahi bumi Alor Setar dengan hujan sekali sekala lebat di banyak kawasan termasuk Pendang.
Dewan Orang ramai Guar Chempedak dipenuhi lelaki berjubah yang datang dari seluruh negara. Turut hadir wakil-wakil institusi pondok dari seluruh Kedah.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Senator Dato Ahmad Yahaya berkata, Dewan Ulamak menggaris 10 teras kesejahteraan yang menjadi tema muktamar kali ini di bawah payung Ulama Memimpin Kesejahteraan.
Katanya PAS menggagaskan konsep penyatuan ummah sebagai teras utama perjuangan yang merupakan pendekatan terbaik demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
“Pendekatan itu bagi mendepani pilihan raya umum (PRU) ke-15 dengan strategi satu lawan satu berdepan dengan musuh politik kita.
“Gagasan ini selaras dengan gerakan politik budaya politik matang dan sejahtera yang meletak pelaksanaan sebagai keutamaan dalam titik tanduk politik PAS,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar PAS Pusat kali ke-61 hari ini.
Hadir sama Mursyidul Am Pas Dato Tuan Guru Hashim Jasin dan Timbalan Menteri Sumber Malaysia Awang Hashim dan pimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 2/9/22




















