
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
ALOR SETAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diberikan kuasa lebih dalam Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, cadangan tersebut bagi menyekat penularan budaya songang yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Beliau berkata, negara berhadapan dengan suasana getir pasca penularan wabak Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun lalu perlu diinsafi dengan sebaik mungkin.
“Kita juga sewajarnya peka terhadap ancaman pendokong ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini, penganjuran konsert bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran kita.
“Sewajarnya penglibatan agensi agama kita seperti Jakim ke dalam PUSPAL ini diberikan suara yang lebih kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Ulamak pada Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-61 yang diadakan di Dewan Serbanguna Guar Cempedak di sini pagi tadi.
Sebelum media melaporkan hanya wakil Jakim yang menyuarakan bantahan penganjuran konsert artis barat di negara ini dalam sesi mesyuarat bersama 15 agensi dalam PUSPAL.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Idris Ahmad, berkata pihaknya kesal kerana penganjuran konsert seperti itu diluluskan agensi kerajaan berkaitan.
Isu itu menjadi kontroversi susulan persembahan penyanyi dari Amerika Syarikat, Billie Eilish pada 18 Ogos lalu di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang mendapat bantahan umat Islam.
Antara pihak yang membantah termasuk Dewan Pemuda PAS Malaysia yang menyelar Puspal kerana meluluskan konsert penyanyi yang menyokong rejim Israel dan gerakan songsang LGBT. – HARAKAHDAILY 2/9/2022




















