
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
SIK: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Wanita dengan mesasarkan pembinaan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah.
Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kompleks itu bakal menjadi pusat pendidikan, penyelidikan serta aktiviti kewanitaan setempat yang berkonsepkan pembelajaran berterusan sepanjang hayat.
“Kita akan bekerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) untuk terlibat dalam pendidikan formal di semua peringkat berfokuskan kepada golongan remaja perempuan dan golongan wanita dewasa serta warga emas.
“Sehingga kini kita sudah memiliki dua modul pendidikan formal iaitu Modul Taska Asuhan Tunas Insan (TASTI) untuk pendidikan awal kanak-kanak dan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) untuk pendidikan formal wanita dewasa,” katanya pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 62 di Dewan Al-Hana, di sini hari ini.
Ujarnya, sebidang tanah berkeluasan lima ekar sudah dapat dimiliki hasil sumbangan pewakaf dermawan untuk dibangunkan kompleks ini fasa demi fasa.
“Kita akan menggembleng seluruh tenaga kepakaran yang ada dalam kalangan muslimat PAS demi menjayakan hasrat yang murni ini.
“Projek ini juga membuka ruang kepada seluruh masyarakat terlibat sama menikmati sistem pendidikan kewanitaan yang akan dibangunkan bagi menyuburkan pembangunan sahsiah kaum wanita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/9/2022











