
SUNGAI PETANI: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berharap agar dapat menunjukkan bukti bahawa mereka adalah Juara Perpaduan, demikian kata Ketua DHPP Pusat, Senator Balasubramaniam Nachiappan.
“Ucapan sulung saya di dalam Dewan Negara telah saya fokuskan kepada perkara yang berkaitan dengan perpaduan kaum. Isu ini semakin meruncing ketika negara yang kita sayangi ini diperintah oleh Pakatan Harapan selama 22 bulan,” ujarnya.
Menurut beliau ketika itu kebencian di antara kaum semakin menjadi-jadi di mana ia menuntut betapa pentingnya rakyat kembali memahami kontrak sosial dan menghayati semula Rukun Negara .
Di mana katanya, penting pelaksanaan silang budaya untuk memperkukuhkan hubungan di antara kaum, sekali gus berusaha memastikan bahawa DHPP mampu untuk menjadi juara kepada isu-isu rakyat.
“Ketika ini rakyat sedang berhadapan dengan isu kos sara hidup yang semakin tinggi. Kita sebagai sebahagian daripada kerajaan mestilah memainkan peranan kita termasuklah memberi teguran dan cadangan terhadap isu yang dihadapi.
“Rakyat mahukan solusi bukannya demonstrasi seperti mana yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang ketandusan idea. Salah satu daripada isu yang sedang saya fokus ketika ini adalah isu penipuan atas talian yang semakin berleluasa.
“Saya telah menubuhkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang khusus untuk memfokuskan isu ini dan telahpun berjaya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Kormersial (JSJK) beberapa bulan yang lalu.
“Saya berharap DHPP juga dapat terlibat di dalam menangani isu ini,” ujarnya menyampai Ucaptama Ketua DHPP Pusat pada Konvensyen DHPP Pusat di Dewan Gandhi, di sini petang tadi.
Beritahunya, antara isu turut pernah diperjuangkan pihaknya adalah berkaitan dengan cukai yang dikenakan kepada rakyat di mana menuntut kerajaan mengkaji semula cukai terhadap rakyat hendak keluar negara bagi tujuan bukan pelancongan.
Antaranya menurut beliau, seperti untuk beribadah, kesihatan dan melanjutkan pelajaran ketika membahaskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 berikutan rakyat masih berhadapan dengan pemulihan ekonomi.
“Begitu juga isu yang melibatkan keselamatan rakyat dan saya khususkan dengan gejala Mat Rempit, saya telah bangkitkan berkaitan dengan undang-undang yang lebih tegas kepada mereka yang terlibat dengan tindakan lebih keras.
“(Ini) bagi membanteras masalah perlumbaan haram dengan mengenakan tindakan terhadap bengkel yang membuat pengubahsuaian kenderaan dan tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang menonton perlumbaan haram dan ia telah mendapat respon yang positif daripada Menteri.
“Dalam isu yang melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) saya menegaskan supaya kerajaan jangan mengulangi kesilapan dalam melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya tidak berulang.
“SOSMA mestilah memastikan negara kekal bebas daripada ancaman keselamatan khususnya serangan dan kegiatan pengganas. Campur tangan pihak lain khususnya orang politik termasuk daripada kalangan pemimpin kerajaan, seperti mana yang pernah berlaku ketika ISA dilaksanakan mestilah dielakkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022




















