
Oleh ZULHAIDI MANSOR
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dato’ Sri Azalina Othman amat tidak wajar, lebih-lebih lagi dicadangkan oleh individu yang tidak berada dalam barisan kabinet negara; dan cadangan itu juga dilakukan secara terbuka dengan menggunakan istilah ‘orang dia’, dikhuatiri lebih bermotifkan politik.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ilyas Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Azalina pada Sabtu lalu, yang menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menukar Peguam Negara (AG) dengan berkata ‘takkan nak tukar AG pun tak boleh’.
Antara kandungan ucapan Azalina selama 10 minit pada taklimat khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur yang menarik perhatian dan mendapat pelbagai tafsiran negatif dalam kalangan pelbagai pihak adalah apabila beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak melantik ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.
Walaupun Ahli Parlimen Pengerang itu tidak menyebut sebarang nama, hadirin taklimat khas itu yang dianjur bagi menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dipenjara, menjerit beramai-ramai ‘Ismail Sabri perlu tukar AG’.
Mengulas lanjut, Ilyas berkata, Azalina harus sedar bahawa meskipun kuasa melantik Peguam Negara boleh dilakukan atas nasihat Perdana Menteri, namun kerajaan sekarang ini dibentuk bukan atas gabungan parti-parti politik tetapi atas dasar persetujuan ahli-ahli parlimen sahaja; dan Umno-BN juga secara terang dan jelas menzahirkan bahawa parti tersebut bukanlah komponen Pakatan Nasional (PN).
Menurut beliau, tindakan Azalina itu memberikan persepsi negatif kepada sistem perundangan negara, yang menimbulkan tanggapan bahawa Peguam Negara selama ini boleh dikawal atau dipengaruhi pihak lain khususnya cabang eksekutif.
“Meskipun individu yang didapati bersalah oleh mahkamah berhak mendapat pengampunan diraja selaras dengan perkara 42, namun perkara tersebut tetap dianggap tidak berintegriti jika semata-mata ingin membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, hubungan antara eksekutif dan parlimen saling bersangkutan secara politiknya walaupun kita diajarkan sistem pentadbiran negara mengamalkan doktrin pengasingan kuasa dan negara memerlukan cabang eksekutif bagi menglegitemasikan segala undang-undang yang dibentangkan di Parlimen.
Namun ujarnya, prinsip pengasingan kuasa tersebut tidak berjalan secara total dan hal ini dapat diperhatikan apabila terdapat beberapa jawatan penting negara masih lagi memerlukan nasihat daripada eksekutif contohnya, perlantikan Peguam Negara dilakukan atas nasihat Perdana Menteri yang merupakan cabang eksekutif.
“Peguam Negara menjalankan fungsi bagi mewakili kerajaan atas perkara-perkara yang melibatkan kes di peringkat antarabangsa dan juga dalam negara,” jelasnya.
Tambah Dr. Ilyas, Peguam Negara juga berfungsi menasihati kerajaan dalam menggubal undang-undang sebelum dibentang di Parlimen selain terlibat menasihati kerajaan dalam urusan agama dan syariah peringkat Persekutuan dan juga negeri.
“Tindakan tersebut walaupun menjadi praktis biasa bagi mana-mana parti yang memerintah negara melantik Peguam Negara yang selari dengan kerajaan, namun ia tidak harus menjadi praktis PN.
“Justeru, ini memberikan isyarat jelas bahawa Perdana Menteri (Ismail Sabri) komited untuk tidak mencampuri urusan badan kehakiman,” ujarnya lagi.
Menurutnya, tindakan tersebut juga boleh memberi imej positif kepada Perdana Menteri dan juga PN bahawa kerajaan benar-benar menjunjung prinsip ketertinggian perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
“Mengikuti konsep tersebut tiada individu boleh mengatasi undang-undang dan seharusnya keputusan mahkamah yang menjatuhi hukuman bersalah terhadap Najib Razak menjadi iktibar kepada semua elit politik agar lebih amanah menjalankan tanggungjawab terhadap negara dan ini membuktikan kebebasan cabang perundangan juga membolehkan tiada siapa boleh terlepas daripada dihukum,” kata Ilyas.
Terdahulu, Azalina dalam kenyataannya menjelaskan maksud ‘orang dia’ bahawa dalam ucapannya itu, ia adalah sama dengan apa pernah dilakukan PN dan Pakatan Harapan sebelum ini.
Memetik kenyataan dalam akhbar Berita Harian pada Selasa lalu, Azalina berkata, saranan supaya Perdana Menteri memilih ‘orang dia’ sebagai Peguam Negara juga selari dengan agenda reformasi sistem pentadbiran negara, yang diperjuangkan pelbagai pihak.
Azalina turut menegaskan, ucapannya itu tidak meminta Peguam Negara digantikan untuk membebaskan Najib dari penjara atau menggugurkan semua pertuduhan lain yang sedang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Sebaliknya menurut Azalina, ucapannya berkenaan hanya membangkitkan mengenai hak seorang rakyat Malaysia untuk merayu serta mengemukakan bukti baharu di mahkamah.
“Bila saya sebut ‘orang dia’, ia merujuk pada meletakkan Peguam Negara politik atau menteri di Parlimen, seperti yang saya ulangi berulang kali, khususnya ketika pelaksanaan darurat ketika Covid-19.
“Tidakkah pelantikan Peguam Negara politik atau menteri oleh Perdana Menteri bermakna meningkatnya ketelusan dan kebertanggungjawaban eksekutif? Perkara 145 Perlembagaan juga tidak melarang menteri undang-undang dilantik sebagai Peguam Negara.
“Ini juga aturan yang dilaksanakan di pelbagai negara seperti Australia dan United Kingdom serta Kanada,” katanya.
Beliau memaklumkan, Malaysia pernah berbuat demikian apabila melantik Tan Sri Abdul Kadir Yusuf (1963-1977) dan Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977-1980) sebagai Peguam Negara daripada Umno sebelum ini.
Malah, Azalina percaya, Peguam Negara politik atau menteri di Parlimen akan mempercepatkan agenda reformasi dan proses pindaan undang-undang, selain lebih mudah membangkitkan isu berkaitan hak asasi manusia, kewarganegaraan dan reformasi undang-undang pilihan raya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022




















