
ALOR SETAR: PAS walaupun mempunyai kerajaan yang terbatas, namun terbukti telah berjaya menunjukkan pencapaian sebagaimana kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Perwakilan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Riduan Abu Bakar berkata, diberikan Allah SWT pemerintahan kerajaan menjadi peluang kepada PAS melaksanakan syariah.
Menurut beliau, itulah janji keimanan mukmin di mana dengan kemenangan diberikan itu, Allah SWT menambahkan lagi kemenangan untuk berada bersama dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“PAS telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PAS adalah sebuah kerajaan yang berintegriti tinggi dengan berpegang kepada agama Islam dalam pemerintahan.
“Kita dapat memberikan contoh yang terbaik buat rakyat Malaysia. Di Kelantan, setelah hampir 40 tahun pemerintahan, membuktikan ketelusan Kerajaan Negeri Kelantan. Di Terengganu, kita telah hampir, kita telah selesaikan 90 peratus janji manifesto.
“Walaupun ada yang menyatakan manifesto adalah bukan kitab suci. Di Kedah, kita mendapat pelabur tertinggi dalam negara, walaupun baru memerintah 2 tahun,” beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, kejayaan ini adalah anugerah Allah S.W.T kerana kesungguhan kepimpinan dan juga daripada ahli-ahli yang tidak mengharapkan sedikit habuan pun walaupun telah memerintah.
Beliau berharap PAS terus membina jati diri dengan tarbiyah dan bukannya kebendaan untuk terus memimpin dan membawa agenda Islam kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 1/9/2022




















