Polisi PAS mendiskriminasikan kaum bukan-Islam?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sebagai parti politik berlandaskan Islam meletakkan pemerintahan kerajaan sebagai satu amanah untuk memimpin rakyat dan negara antaranya membina kepada kemajuan dan hala tuju yang baik.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, ketika sama PAS dalam peranannya sebagai pimpinan mesti bertindak mencegah rakyat dan negara daripada kerosakan dan nilai yang meruntuhkan.

Katanya, Oktoberfest, Valentine Day, Bon Odori dan beberapa lagi keraian asing daripada luar hakikatnya bukan budaya masyarakat negara ini, malah bertentangan dan membawa nilai tidak baik dalam masyarakat.

“Kita tak perlu import budaya tersebut. Tapi PAS tidak pernah larang orang bukan-Islam untuk nak minum arak, nak minum itu urusan dia. Yang kita sekat ini ialah kepada orang Islam.

“Sebagai contohnya Bon Odori. Bon Odori siapa nak pergi itu hak dia. Tapi kita tak benarkan orang Islam (pergi),” terang beliau dalam rancangan Feng Ren Guan bersama pengendalinya, Lum Chih Feng di Youtube, kelmarin.

Perinci beliau, Islam terbuka dalam meraikan kebudayaan, namun mempunyai sempadan di mana apabila melibatkan upacara atau amalan kepercayaan agama lain, ia tidak boleh diikuti serta melaksanakannya.

“Contoh sama juga sebenar dalam agama masyarakat Cina pun ada perayaan hantu lapar dan sebagainya contoh kan? Ini perayaan agama dia. Kalau kita orang Islam, kita tak dibenarkan terlibat dalam urusan agama.

“(Kalau) Urusan budaya okey (dibolehkan). Ni bila urusan keagamaan, dia ada soal kepercayaan dan sebagainya itu, itu tak boleh. Sama juga orang Cina nak masuk pergi tengok masjid tak apa. Tapi nak suruh dia sembahyang tentu tak boleh, ya, sebab nilai agama.

“Ada perayaan-perayaan. Kita dalam Islam pun ada perayaan yang bersifat agama. Agama ini dia ada sempadan dia. Tetapi nilai ni bukan nilai kita. Bon Odori ni bukan nilai orang Melayu, bukan nilai Malaysia. (Tapi) Nilai Jepun.

“Tapi dimasuk sebagai budaya konon untuk merapatkan hubungan di antara dua negara. Okey, tak ada, tak ada masalah, tetapi yang melibatkan soal keyakinan, kepercayaan maka ada larangan,” ujarnya memahamkan.

Jelas beliau lagi, dalam nasihat atau teguran dilakukan PAS atau pemimpinnya berkenaan perkara-perkara berkaitan, ia tidak harus dilihat sebagai politik, tetapi menyampaikan keputusan telah termaktub dalam fatwa misalnya.

Terangnya, negara ini mempunyai institusi agama antaranya Pejabat Mufti yang mengeluarkan fatwa terhadap suruhan atau tegahan agama di mana tanggungjawab PAS menyampaikan.

Antaranya kata beliau, apabila melibatkan larangan atau nilai-nilai negatif, ia supaya menyelamatkan atau mempertahankan masyarakat dari perkara tersebut menjadi budaya hingga dilakukan berterusan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, ada larangan berkenaan agama yang tertakluk hanya kepada orang Islam sahaja seperti perayaan atau upacara agama lain, di mana hak penganut agama atau kaum lain sama sekali tidak dipertikaikan.

Namun ujarnya, ada keraian atau aktiviti bebas yang bukan amalan agama atau budaya mana-mana kaum, tetapi mesti dikawal seperti peminuman arak atau dihalang seperti pertaruhan judi kerana membawa banyak kesan negatif.

Menurut beliau, polisi-polisi diwujudkan PAS menerusi pemerintahan kerajaan berkaitan arak, judi dan kegiatan seumpamanya sama sekali bukan bertujuan mendiskriminasi kaum atau mana-mana pihak.

Tetapi sebagai pemimpin, PAS katanya menetapkan hala tuju yang baik untuk kehidupan rakyat seluruhnya untuk kemajuan, kemakmuran dan keadilan semua tanpa sebarang pertelingkahan atau konflik.

“Kita tak nak negara kita, rakyat kita rosak, jadi ketagih dadah, ketagih arak, rumah tangga porak-peranda, berkelahi, anak-anak terbiar dan sebagainya. Jadi kalau kita membina nilai positif, tapi kita biarkan nilai negatif akhirnya masyarakat kita tak terurus dengan baik.

“Contoh soal judi. Masyarakat Cina sebahagian beragama Buddha, apakah Buddha membenarkan judi? Apakah Kristian membenarkan judi? Kalau agama mereka membenarkan judi, itu hak yang mesti kita bagi kebenaran kerana agama dia membenarkan.

“Tapi kalau agama dia tidak benarkan, cuma budaya masyarakat dia itu yang hidup begitu kita kena clear; budaya ni baik untuk keluarga atau tak baik? Saya fikir judi tak ada agama benarkan kecuali saya ingat dalam kepercayaan Tionghoa mungkin ada waktu jumpa keluarga, dia main mahjong dan sebagainya, itu kan?

“Itu tak dilarang. Itu hak mereka untuk hidup main gembira seronok-seronok apa semua itu okey. Tapi kita mesti cegah, jangan jadi orang panggil tahi judi. Jangan jadi budaya berjudi. Judi ini hanya untung tauke-tauke judi, yang jadi mangsa orang miskin. Orang miskin ini dia angan-angan, dia ambil judi balik angan-angan kena.

“Tapi dia akan ketagih. Bila ketagih, duit dia akan habis pada perjudian, rumah tangga dia terbiar, anak-anak dia terbiar. Sama juga arak, arak kalau mereka minum arak dalam keluarga dia, okey. Kelantan pun kita tak pernah banned arak.

“Tetapi kalau arak jadi amalan, jadi budaya hingga timbul ketagihan yang melampau, itu kadang-kadang tengok balik pukul isteri, terbiar tak tunai tanggungjawab dalam keluarga,” ujar beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA).

Tegas beliau, PAS mahu membina negara dan rakyat yang sejahtera, baik dan akan berterusan membimbing di mana masing-masing perlu jelas sempadan larangan dan hak bersama atau berasingan mengikut agama atau hak. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -