
UMNO adalah parti yang paling adil hanya untuk Umno. Umno adalah parti yang paling zalim bagi orang yang tak isi borang Umno.
Ini adalah kesimpulan yang boleh saya gambarkan jika lebih ramai atau majoriti ahli Umno berfikiran seperti Dato Seri Azalina Othman Said ketika mana seolah-olah mencadangkan Peguam Negara perlu ikut Umno dalam ucapannya dalam Program Taklimat Khas Presiden Umno, 27 Ogos 2022 lepas.
Beliau memberi perumpamaan seperti ketika mana beliau jadi Ketua Bahagian, maka Setiausaha dan Ketua Penerangan adalah orang beliau pilih dan perlu ikut telunjuk beliau.
Begitulah dangkalnya perumpamaan yang dibuat dan korupnya akal dan hati, apabila seolah-olah mahu memilik Umnokan pegawai kanan tertinggi kerajaan.
Negara sebagaimanakah yang mahu kita bentuk jika idea autokratik yang diucapkan dalam Pertemuan Khas Umno beberapa hari lepas terus dominan menguasai.
Pemikiran yang disebarkan oleh Dato Seri Azalina seolah-olah menganggap segala-gala perkakas dalam sistem berkerajaan di Malaysia ini hak milik Umno.
Ini adalah sikap membawa kepada aksi melampau dan sewenang-wenangnya menyalahkan guna kuasa demi kepentingan Umno namun merosakkan keluhuran negara berdaulat milik bersama rakyat Malaysia.
Seorang sarjana sains politik yang juga ahli falsafah Perancis, Montesquieu memperkenal Teori Doktrin Pengasingan kuasa menyatakan bahawa jika ketiga-tiga kuasa itu dipegang oleh orang yang sama, maka akan wujud pemerintahan diktator dan pemerintahan sewenang-wenangnya akan berlaku.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang mengangkat doktrin pengasingan kuasa bagi menjamin keadilan untuk semua rakyat dan berteraskan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.
Malaysia telah melalui proses ke arah kematangan demokrasi yang mengimbangi kuasa Badan Pentadbiran (Executive), Badan Perundangan (Legislative) dan Badan Kehakiman (Judiciary) di bawah yang Ketua Negara ke bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong.
Ketika mana Dato Seri Azalina mengungkap seruan tersebut apakah beliau ingat DYMM Yang di-Pertuan Agong buta, pekak dan kaku serta akan membiarkan Umno sewenang-wenangnya melakukan apa-apa sahaja demi gelodak nafsu buas Umno versi beliau.
Walaupun kedengaran sorakan kuat dalam kalangan penyokong-penyokong beliau, namun keangkuhan tanpa muhasabah ini kelak bakal diajar oleh pengundi-pengundi rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan diri diperbudak.
Undi-undi majoriti rakyat Malaysia bakal mengajar keangkuhan yang disemarakkan dan akan membimbangkan sebahagian besar pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno yang masih tersisa ketulusan hati dan kewibawaan dalam memimpin.
Dato Seri Azalina dan penyokong-penyokongnya, seolah-olah lupa bahawa Umno kini tak segagah dulu kerana kesedaran rakyat menolak Umno kerana sikap angkuh, lupa diri yang sewenang-wenangnya tanpa rasa malu dan bersalah menyalahkan gunakan kuasa setelah diberi amanah memimpin negara sejak sekian lama.
Melihat kepada seruan rakus yang tak menghormati garis dan batas sempadan pengasingan kuasa 3 badan utama sistem pemerintahan negara ini, maka Azalina dan mana-mana penyokong Umno yang bersama dengannya telah menjadi sangat hodoh di mata masyarakat pengundi atas pagar.
Mungkin Umno berasa terlalu selesa dengan pengundi tegar mereka setelah mereka sangka koalisi parti lain masih belum kukuh. Mereka hanya mampu menilai secara sekilas dan berada di zon selesa dengan kemenangan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.
Ingat! Apabila sikap tak amanah serta khianat dan mahu merampas hak negara untuk supaya mengikut nafsu parti semata-mata, Maka tak ada sebab lagi untuk terus memberi undi kepada Umno kalaulah begini caranya.
Pengundi-pengundi atas pagar akan mengajar Umno dengan kuasa memangkah kelak. Setelah kitaran korupsi wang bagaikan anai-anai merosak Umno selama ini , kita lihat pula sejauh mana korupsi pemikiran politik bermaruah bakal membenamkan untuk kali ke seterusnya.
Kepada Dato Seri Azalina, teruskanlah angkuh, kalau betul-betul gedebe dan anak jantan paksalah Peguam Negara isi borang Umno!
Kita lihat kuasa undi rakyat Malaysia kelak akan menunjukkan siapa yang benar-benar jantan sejati!
ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
30 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 30/8/2022




















