Umat Islam di AS dibelenggu layanan rasis polis

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

NEW YORK: Umat Islam di Amerika Syarikat kini terpaksa berdepan isu rasis dalam layanan pihak berkuasa di negara itu kerana mereka adalah lebih lima kali berkemungkinan menghadapi ‘gangguan’ dari polis berbanding kumpulan agama lain.

Menurut kajian Universiti Rice yang berpangkalan di Texas bermatlamat mengkaji bagaimana agama membentuk pengalaman individu dalam berurusan dengan pegawai penguatkuasa undang-undang di AS, didapati bahawa orang Islam terutamanya yang berkulit hitam, atau berketurunan Timur Tengah atau Afrika Utara (MENA atau Middle Eastern-Arab-North African) lebih berkemungkinan mengalami gangguan dari polis kerana agama yang dianuti mereka, dan menghadapi layanan yang lebih teruk berbanding orang Islam berkulit putih, lapor TRT World.

- Advertisement -

Sementara itu, tiada orang Islam berkulit putih di AS melaporkan gangguan daripada pihak polis disebabkan agama yang dianuti mereka.

Walaupun gangguan polis yang tidak seimbang terhadap komuniti kulit hitam berbanding komuniti lain telah mendapat perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah banyak kes pembunuhan berprofil tinggi polis terhadap orang kulit hitam, terdapat sedikit kajian yang memfokus kepada layanan polis terhadap orang kulit berwarna dalam komuniti Islam pasca peristiwa serangan 11 September 2001. 

“Ramai orang Islam di Amerika Syarikat bimbang terhadap pengawasan polis yang dibenarkan kerajaan melalui tindakan seperti pengesanan dalam talian, keselamatan di lapangan terbang, perhentian rutin, atau pemantauan dalam ruang aktiviti keagamaan,” ujar kenyataan penyelidik kajian berkenaan.

Sementara Middle East Eye melaporkan bahawa persekitaran geopolitik pasca 11 september 2001 telah mewujudkan ‘hubungan tegang’ antara pihak penguatkuasaan undang-undang dan komuniti Muslim AS.

Lebih 23 peratus orang Islam kulit hitam dan hampir 40 peratus golongan dewasa yang dikenal pasti sebagai Muslim yang berasal dari Timur Tengah dan Afrika Utara mengalami gangguan polis berasaskan agama, menurut laporan itu.

Pengarang utama kajian itu, Jauhara Ferguson berkata, pakar sosiologi memahami bagaimana faktor kaum mempengaruhi pengalaman dengan polis.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit gerak kerja dilakukan dalam mengkaji bagaimana agama secara khusus membentuk pengalaman orang ramai dengan polis di AS. 

“Kami percaya ia adalah topik penting untuk diterokai, dan ia boleh membantu kami memahami hubungan antara agama dan kaum dalam pengalaman dengan gangguan polis di AS,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/20

- Advertisement -