‘Pemberontakan’ di Old Trafford dan ‘sumpahan 7 tahun’ di Anfield

- Advertisement -

PADA 22 Ogos lepas Manchester United atau Man Utd telah membuat kejutan apabila menundukkan Naib Juara English Premier League (EPL) musim lepas, Liverpool, 2-1. Walaupun permainan berlangsung di Old Trafford, Manchester namun Man Utd sedang dilanda krisis dalaman dan susah tentu tidak ramai yang mengharapkan kemenangan bagi kelab tuan rumah itu. Sebelum ini mereka telah tewas kepada Brighton 1-2 dan dibelasah Brentford 0-4. Penyokong-penyokong juga dilaporkan media tidak berpuas hati dengan keluarga Glazers yang memiliki kelab itu. Kemenangan tersebut adalah kemenangan pertama pengurus baharu, Erik Ten Hag, di dalam EPL.

Liverpool juga tertekan kerana kali ini merupakan permulaan musim paling buruk sejak pengurus Jurgen Klopp dilantik pada tahun 2015. Mereka telah seri 2-2 pada perlawanan pembukaan dengan Fulham dan kemudian seri 1-1 dengan Crystal Palace. Liverpool telah bermula garang musim ini apabila mengalahkan Manchester City atau Man City 3-1 dalam perlawanan pembuka tirai Community Shield dan penyokong-penyokong mula bermimpi inilah musim mereka.

Dua hari sebelum Liverpool terbenam di Old Trafford, dua keputusan yang mengejutkan telah tercipta. Pertama pada 20 Ogos, Chelsea telah dibelasah 3-0 oleh Leeds. Pada musim lepas, Chelsea menduduki tempat ketiga sementara Leeds di tempat ke-17 hampir tersingkir ke Championship. Di dalam satu lagi perlawanan, Man City seri dengan Newcastle 3-3 tetapi Man City bernasib baik. Juara musim lepas itu telah ketinggalan 1-3 pada minit ke 54 tetapi terselamat dari kekalahan dengan jaringan penyamaan Bernado Silva.

Selepas 3 perlawanan, Arsenal berada di puncak liga. Kali terakhir mereka memenangi kejuaraan adalah pada tahun 2003-04 ketika mereka dipimpin oleh Arsene Wenger. Pada musim tersebut mereka tidak kalah di dalam liga walaupun sekali. Nampaknya ‘sumpahan Ozil’ yang selama ini dikatakan menghantui kelab Utara London itu telah dapat dinyahkan. Pada musim lepas mereka kelihatan hampir pasti layak ke Liga Juara-juara UEFA (UEFA) tetapi akibat kekalahan-kekalahan yang mengejut di akhir musim mereka terpaksa berpuas hati dengan Liga Europa UEFA (UEL). Paling pahit bagi mereka adalah saingan Utara London mereka, Tottenham, telah berjaya memintas mereka untuk layak ke UCL.

Di belakang Arsenal adalah juara musim lepas Manchester City yang diikuti oleh Leeds, Tottenham dan Brighton. Sementara pada kedudukan yang paling bawah adalah West Ham dan di atas mereka adalah Leicester dan Wolves. Kelab-kelab yang memenangi promosi dari Championship musim lepas setakat ini tidak kelihatan menghadapi masalah. Fulham berada di tempat ke-7, Nottingham Forest di tempat ke-10 dan Bournemouth di tempat ke-15. Walau bagaimanapun musim terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan. Mereka baru bermain 3 perlawanan dan terdapat 35 perlawanan lagi.

Prestasi untuk beberapa perlawanan awal ini bukan satu kayu pengukur untuk keupayaan sebenar kelab-kelab untuk musim ini. Selepas 2 perlawanan Man Utd berada di tempat tercorot dengan 2 kekalahan yang memalukan tetapi setelah mengalahkan Liverpool mereka dijangka akan bangkit. Man Utd pernah kalah 2 perlawanan pertama iaitu pada musim 1992/93 dan mereka muncul juara EPL pada musim tersebut. Kejuaraan itu adalah kejuaraan pertama mereka sejak 1967. Tetapi ketika itu mereka dipimpin oleh pengurus legenda, Sir Alex Ferguson, dan kelab berada di dalam keadaan stabil. Hari ini terdapat protes penyokong-penyokong terhadap keluarga Glazer di mana mereka telah menubuhkan kumpulan protes, ‘The 1958’. 

Keluarga Glazer adalah dari Amerika Syarikat dan turut memiliki Tampa Bay Buccaneers yang bermain bola sepak Amerika (American football) di dalam NFL di sana. Keadaan menjadi bertambah panas apabila seorang jutawan (billionaire), Sir Jim Ratcliffe, menunjukkan minat untuk membeli kelab itu. Pembelian pemain Real Madrid dan Brazil, Casemiro, yang diperkenalkan sebelum perlawanan menentang Liverpool turut gagal menenangkan penyokong-penyokong. Ujian yang paling getir Man Utd adalah pada 4 September ini apabila mereka akan bertemu dengan Arsenal di Old Trafford. Perlawanan ini adalah petunjuk sama ada Man Utd telah bangkit atau Arsenal adalah pencabar kejuaraan yang serius.

Liverpool adalah satu lagi bekas juara EPL yang perlu bangkit. Mereka berada di tempat ke-16 tanpa sebarang kemenangan. Mereka berjaya seri 2 kali. Terdapat penganalisis yang mengemukakan teori ‘sumpahan tujuh musim’ atau ‘seven year curse’ Klopp. Musim ini adalah musim ketujuh Klopp bersama Liverpool. Ketika di Jerman, kelab yang dipimpin beliau, Mainz, telah tersingkir dari Bundesliga (liga utama Jerman) setelah tujuh musim bersama beliau.

Mainz sebelum itu telah memenangi promosi di bawah Klopp. Ketika beliau di Borussia Dortmund pula, mereka berjaya memenangi Bundesliga sebanyak dua kali dan memasuki perlawanan akhir UCL. Walau bagaimanapun pada musim ketujuh Klopp di sana keadaan telah bertukar dan Dortmund hanya menduduki tempat ketujuh menyebabkan Klopp meninggalkan kelab tersebut. Walaupun ‘sumpahan tujuh musim’ ini seperti ‘sumpahan Ozil’ adalah satu perkara yang karut namun ia memberikan kesan kepada mental pemain dan kakitangan.

Di dalam bola sepak, perkembangan di luar padang turut mempengaruhi keputusan-keputusan di atas padang. Kelab-kelab perlu stabil untuk mencapai kejayaan. Krisis kepimpinan seperti yang berlaku di Man Utd tidak akan membantu pasukan tersebut di atas padang. Khabar-khabar angin malah kononnya terdapat sumpahan juga akan memberi kesan. Walau bagaimanapun musim masih panjang dan apa sahaja boleh berlaku.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -