
TAHNIAH! Syabas! Dan Alhamdulillah. Jika semasa di bangku sekolah atau universiti, menerima surat tawaran lanjutan pelajaran beserta dengan biasiswa atau tawaran bantuan pendidikan di depan pintu rumah, tiada mana-mana anak dan ibu bapa yang tidak gembira, dan mungkin akan melompat girang tanda keseronokan dan kesyukuran dengan rezeki untuk menempa kejayaan dalam bidang pendidikan 5-10 tahun akan datang.
Saya yakin. Inilah perasaan para pelajar dan ibu bapa dalam majlis yang saya rasmikan pada pagi ini. Majlis Penyampaian Skim Pembiayaan Hafiz bagi tahun 2022.
Tentunya persaingan amat tinggi, berpandukan merit kecemerlangan para pelajar yang bertungkus lumis sehingga telah melayakkan mereka semua menerima Skim Pembiayaan ini.
Dengan penubuhan pasukan bagi pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memastikan pendidikan tahfiz di negara ini terus diperkasakan, saya yang juga merasakan perkara ini cukup dekat dengan hati saya dan keluarga yang berlatar belakangkan pengajian Hafiz dan pendidikan agama, melihat perkembangan yang begitu pesat dengan transformasi pendidikan tahfiz yang terpecah kepada beberapa kategori tahfiz seperti Tahfiz Dini, Tahfiz Turath, Tahfiz Sains dan Tahfiz TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional).
Alhamdulillah, untuk Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) ini, setelah melalui beberapa proses saringan dan temuduga, seramai 75 orang telah berjaya disenaraikan sebagai penerima SPH bagi tahun 2022 termasuk 2 orang penerima Anugerah Perdana Menteri bersempena Majlis Konvokesyen Darul Quran yang secara automatik ditawarkan tajaan SPH dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1,060,755.
Sempat saya selitkan pesanan ringkas untuk anak-anak kita ini, supaya sentiasa memantapkan diri dengan hafazan al-Quran secara berterusan dan istiqamah, serta berakhlak dengan akhlak Islam, di samping penguasaan bidang-bidang ilmu yang lain.
Apabila membawa gelaran al-hafiz, maka bermulalah satu amanah besar dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Bukan itu sahaja, pelajar juga perlu terus memperkasa diri dengan kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa Arab dan bahasa Inggeris, kemahiran pengurusan strategik untuk menjadikan para graduan nanti terus relevan dalam pasaran kerja.
Tajaan SPH bukan hanya kepada pelajar dalam bidang agama, bahkan SPH turut menaja pelajar dari pelbagai bidang pengajian, dengan harapan akan melahirkan generasi rabbani dan teknokrat Huffaz yang bakal mengemudi negara pada masa akan datang.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima SPH kerana anda semua layak menerima Skim Pembiayaan Hafiz ini.
Sokongan dan pengorbanan ibu bapa selama ini telah membolehkan anak-anak pelajar dari institusi tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.
Justeru, jangan sama sekali anda melupakan jasa ibu bapa dan para asatizah jua guru-guru anda semua.
Doalah banyak-banyak, anak-anak ini akan memimpin kita kelak dengan kefahaman agama yang tinggi yang akhirnya melahirkan sebuah negara yang diredhai, diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Ameen.
YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/8/2022























