Bagaimana Umno boleh stabilkan politik negara?

- Advertisement -

BELUM terlambat untuk Umno pimpin semula negara dengan kekuatan yang dimiliki mereka. Dengan keputusan penghakiman kes Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, walaupun pahit, Umno perlu melaraskan strategi besar untuk memperbetulkan jajaran politik tanah air dengan landskap politik baharu.

Meletakkan matlamat utama menghalang tragedi PRU14 berulang, gabungan kuasa politik Melayu Islam perlu diterjemahkan dalam gagasan hala tuju persiapan Pilihan Raya Umum ke-15. Bukannya mengharapkan selepas keputusan PRU nanti baru nak diwujudkan gabungan.

Banyak kajian dibuat jika satu muafakat kuasa Melayu diikat erat, dengan berlapang dada, pembahagian kerusi antara gabungan Melayu-Islam dan bukan-Islam yang bersama, maka, kerajaan yang terbentuk nanti adalah satu kerajaan yang kukuh dan mampu menghalang kebangkitan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

PAS masih kekal dengan kerjasama Muafakat Nasional yang terbentuk, walaupun Umno berdolak dalih mengenai ini, PAS masih konsisten dengan Muafakat Nasional dan dalam masa sama memperkasakan Perikatan Nasional atau mana-mana parti yang mampu menerima pendekatan ini.

Antara dakwaan sebab utama keretakan ialah PAS kerana meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional, PAS punyai alasan kukuh mengenai ini. Kuasa Melayu atau penyatuan ummah adalah elemen penting perlu dicipta agar kita mampu bersama-sama halang DAP.

Umno perlu buat pengorbanan, PAS perlu buat pengorbanan, BERSATU perlu ikut serta bertolak ansur, PKR perlu sertai muafakat, jika jajaran ini terlaksana, keputusan PRU mudah dijangka dengan fokus satu lawan satu menolak DAP untuk bentuk kerajaan yang disertai Ahli Parlimennya bertunjangkan Melayu Islam.

Benar sekali komentar YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS, ketika diajukan soalan terbaharu bagaimana hubungan Muafakat Nasional selepas kes Dato’ Seri Najib dijatuhi hukuman. Beliau mengambil pepatah Melayu memulakan jawapan persoalan ini:

“Pepatah Melayu ada menyebut  hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika kita hendak sebenarnya kita akan sedaya upaya mencari jalan untuk mencapainya, jika tak hendak, cukup satu dalih sahaja untuk menguburkan apa yang dicitakanya. 

“Setiap pimpinan harus mencari jalan bagaimana menjadikannya seribu daya jalan penyelesaian konflik dalam negara bagi mencapai negara lebih stabil dan negara bergerak ke lebih hadapan,” memetik ucapan jawapan beliau.

Jadi memang benar, jajaran besar bakal terbentuk demi kestabilan negara akan datang memang ada pada tangan Umno. Keputusan terbaik boleh dibuat dan sudah ada, hanya perlu digerakkan bak kata Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri tadi “nak seribu daya”.

Sebab itulah, walaupun diserang bertali arus oleh sebahagian pimpinan Umno yang mempunyai kepentingan tersendiri tanpa memikirkan masa depan negara agar Muafakat Nasional ini dihancurkan, ia tidak disambut dan dibalas oleh PAS.

Presiden PAS tetap menyebut perlu diperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ini. PAS mampu berada di tengah jika Umno dan BERSATU bersedia ke arah pengukuhan ummah dan mampu bincang kedudukan kerusi-kerusi mewakili parti masing-masing demi membentuk kerajaan yang kuat dengan perancangan awal dan bukannya menunggu selepas PRU15.

Jika Umno tidak boleh menerima gagasan ummah ini, PAS akan terus berusaha, berkorban dan mengambil kira apa jua keputusan adalah berteraskan Islam dan kuasa politik Melayu memimpin negara selepas PRU15.

Sekian. 

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -