
ALOR SETAR: Kedah mendapat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri baharu, iaitu Dato’ Norizan Khazali, yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).
Norizan, 56, menggantikan Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim, yang bersara daripada perkhidmatan awam semalam.
Ammar berkhidmat sebagai penjawat awam selama 34 tahun 8 bulan dan 4 hari. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 September 1987 dan dilantik sebagai SUK pada 20 September 2018.
Sementara itu, Norizan yang dilahirkan pada 21 November 1966 di Pendang, Kedah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendang, pada 1973.
Pendidikan peringkat ijazah beliau di Universiti Malaya pada 1987 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian pada 1990.
Pada tahun 2006, beliau kemudian meneruskan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia dan mendapat Ijazah Sarjana Sains (L.A.D) Pentadbiran dan Pembangunan Tanah pada tahun 2008.
Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 Disember 1991 di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, Norizan mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran tanah, iaitu selama 17 tahun.

Pernah menyandang pelbagai jawatan di pentadbiran tanah, termasuk Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Padang Terap, Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Langkawi, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pendang dan Pentadbir Tanah Daerah Baling.
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kulim, memangku Pegawai Daerah Pendang, Pegawai Daerah Pokok Sena dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Norizan juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri pada tahun 2013 sehingga tahun 2015 dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) pada tahun 2019 sehingga tahun 2022.
Semasa bertugas di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), beliau bertanggungjawab merangka Pelan Transfomasi Pembangunan Negeri Kedah pada tahun 2013 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Beliau turut merangka pembangunan Kedah Rubber City, The Bukit Kayu Hitam Special Boarder Economic Zone (SBEZ), Kedah Aerotropolis, Kedah Science Technology Park (KSTP) dan Northern Corridor Highway (NCH). – Warta Kedah




















