
SABITAN bersalah terhadap Dato’ Seri Najib Razak (DSNR) disambut dengan pelbagai reaksi. Dari kalangan penyokong DSNR pasti amat berduka dengan keadaan ini, manakala dari kalangan masyarakat lain pula menyambut baik proses mahkamah yang telah berjalan.
Tidak sedikit jua yang masih berpaut pada sentimen dan emosi dalam kes SRC International ini. Bagi mereka DSNR adalah mangsa permainan politik oleh musuh.
Namun, tidak kiralah apa pun pandangan kita, kita perlu muhasabah dan ambil pengajaran dari kes ini. Betapa aspek integriti dan kebersihan itu perlu kita jaga.
Bahkan kebersihan dari rasuah dan ketirisan bukan sahaja perlu laju di bibir, paling penting ia perlu dibuktikan dengan tindakan.
Reaksi atau tunggangan oleh sekelompok besar pemimpin dari Pakatan Harapan dengan sentimen ‘bersih rasuah’ sebenarnya satu budaya politik tidak matang dan hipokrit.
Hal ini demikian kerana, sepanjang 22 bulan mentadbir, kes mahkamah yang berkaitan rasuah dan integriti oleh pimpinan PH telah digugurkan begitu sahaja. Sepertimana kes terowong 6.3 bilion Pulau Pinang dan banglo bawah paras harga pasaran yang dihadapi Lim Guan Eng.
Peliknya situasi ini, Peguam Negara di bawah PH Tommy Thomas telah memohon kepada mahkamah memberikan pelepasan sepenuhnya kononnya atas dasar tidak cukup bukti.
Kita juga jangan lupa kes mahkamah yang dihadapi tokoh populis anak muda, YB Syed Saddiq yang berhadapan tuduhan pecah amanah dana Angkatan Muda Bersatu sebanyak RM1 juta dan penyalahgunaan wang RM120,000.
Terdapat juga beberapa kes yang dihadapi pegawai-pegawai ahli politik PH seperti Setiausaha Politik Mat Sabu yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.
Kes Rafizi Ramli yang dibebaskan daripada tuduhan mahkamah serta pembebasan menggunakan pengampunan DiRaja. Apakah ini kebersihan yang dilaungkan?
Benar, ada antara contoh ini masih dalam perbicaraan. Maka tidak adil kita menilai seolah-olahnya mereka betul-betul telah mengambil rasuah.
Tetapi inilah yang dipraktikkan PH dan pimpinannya. Mengadil dengan sentimen dan otak sendiri sedangkan mereka sendiri pun terpalit dengan kes mahkamah.
Sebab itu, PAS dan rakan kerjasama Perikatan Nasional sentiasa menyeru rakyat Malaysia agar menyerahkan sabitan kesalahan kepada mahkamah, bukan kepada pendakwaan orang umum dan rakyat yang terdedah kepada permainan sentimen politik.
Contohilah budaya politik matang PAS dan PN. Paling utama sekali, contohilah pemimpin dan kebersihan yang ditawarkan Perikatan Nasional buat rakyat. Contohnya dapat kita lihat di Kelantan, setakat 32 tahun mentadbir tiada pemimpin politik yang didakwa. Bahkan pintu untuk siasatan SPRM dibuka 24 jam!
Proses kehakiman pada era Perikatan Nasional terbukti tidak berlaku campur tangan dan pengguguran kes rasuah secara tiba-tiba sepertimana zaman PH. Inilah nilai integriti yang kita cuba perjuangkan.
Jika ditimbang tara antara kebersihan PN dan PH, pihak mana menjadi pilihan anda?
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 24/8/2022




















