
Oleh ZULHAIDI MANSOR
ADDIS ABABA: Hampir separuh daripada penduduk di wilayah Tigray yang dilanda perang di Ethiopia kini mengalami masalah kekurangan bekalan makanan yang kritikal, dan keadaan dijangka bertambah buruk sehingga boleh mencetuskan kepada risiko kebuluran.
Berdasarkan penilaian terbaharu yang dibuat bermula dari November 2021 sehingga Jun 2022, Program Makanan Sedunia (WFP) mengeluarkan kenyataan bahawa 89 peratus daripada enam juta penduduk Tigray tidak mempunyai akses yang konsisten kepada makanan, lapor TRT World.
Menurut penemuan laporan itu, masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di wilayah tersebut telah melonjak ke tahap yang membimbangkan, selain ia turut dialami golongan wanita hamil dan yang sedang dalam fasa menyusu bayi, dengan enam peratus kanak-kanak yang disaring didiagnosis dengan kekurangan zat makanan pada tahap kritikal.
Menurut The Straits Times, 65 peratus daripada kanak-kanak menurut hasil kajian tersebut, tidak mendapat sokongan pemakanan selama lebih setahun.
“Kebuluran semakin nyata, kadar kekurangan zat makanan telah bertambah dengan banyak, dan keadaan dijangka bertambah buruk apabila orang ramai akan bakal menghadapi ‘tempoh kelaparan puncak’ sehingga musim menuai tahun ini pada Oktober,” menurut laporan WFP.

Penilaian membimbangkan itu didapati walaupun gencatan senjata kemanusiaan pada bulan Mac membenarkan penyambungan semula konvoi bantuan antarabangsa yang sangat diperlukan ke Mekelle, ibu kota wilayah yang dilanda masalah kekurangan bekalan makanan, ditambah lagi dengan kekurangan bahan api yang menyukarkan untuk mengagihkan bekalan makanan.
Sejak konflik perang tercetus 21 bulan lalu, Tigray mempunyai akses terhad kepada makanan dan perkhidmatan asas seperti elektrik, komunikasi dan perbankan.
Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed telah terperangkap dalam konflik dengan kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) sejak November 2020, menjadikan wilayah paling utara di Ethiopia itu berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan yang serius.

Ahmed menghantar tentera untuk menggulingkan TPLF, yang juga bekas parti pemerintah di wilayah itu sebagai tindak balas kepada serangan pemberontak ke atas kem tentera.
Pemberontak kemudian melancarkan serangan semula, menawan semula Tigray dan penguasaannya berkembang ke Afar dan Amhara, sebelum perang berlarutan itu mencapai jalan buntu untuk ditamatkan.
Kerajaan Ethiopia sehubungan itu, menggesa perjanjian gencatan senjata rasmi dicapai secepat mungkin bagi membolehkan perkhidmatan asas disambung semula kepada Tigray.
“Walaupun misi kemanusiaan telah meningkatkan bekalan makanan ke Tigray dengan 6,105 trak telah tiba di Mekelle pada 26 Julai 2022 lalu, namun perkara ini masih belum diterjemahkan kepada peningkatan bantuan kemanusiaan, kerana cabaran lain masih kekal, seperti akses terhad kepada bahan api,” ujar laporan WFP. – HARAKAHDAILY 25/8/2022




















