Latihan sebulan di Kuala Lumpur tingkat prestasi Coelho

Prestasi Ygor Coelho (kanan) mengejutkan Anthony Sinisuka Ginting
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pemain Brazil, Ygor Coelho, sudah tersingkir awal dari Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, namun dia hampir membuat kejutan besar terhadap pemain pilihan keenam dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Coelho, 26, dari Rio de Janeiro, menyifatkan peningkatan mendadaknya hingga hampir mengejutkan Ginting kerana berpeluang menjalani latihan impiannya di Akademi Badminton Sports Affairs, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Dia menghabiskan masa sebulan berlatih bersama kumpulan pemain dan latihan singkat itu ternyata memberi perubahan besar apabila mempamerkan aksi mantap yang mencemaskan Ginting dalam perlawanan pembukaan.

Namun berbekalkan pengalaman lalu, Ginting berjaya bangkit untuk mara ke pusingan kedua dengan keputusan, 13-21, 21-15 dan 21-12.

“Saya bercakap dalam hati tahun lalu bahawa pada suatu tahap dalam hidup, saya ingin pergi ke Malaysia. Saya gembira berjaya merealisasikan impian itu.

“Ini adalah pengalaman pertama saya berlatih di Asia dan bertuah dapat berlatih bersama pemain seperti Chou Tien Chen, Tommy Sugiarto, Soong Joo Ven, Zhang Beiwen dan Sonia Cheah. Suasana latihan di Kuala Lumpur juga sangat bagus,” katanya.

Menurutnya, setiap orang di akademi itu memastikannya dapat menyesuaikan diri menyebabkannya berasa seperti di rumah.

“Ini yang menyebabkan saya lebih bersedia untuk bermain di Kejohanan Badminton Dunia. Ketajaman dan ketangkasan saya menjadi lebih baik,” katanya.

Coelho bermula dengan baik ketika menentang Ginting, tetapi sebaik sahaja pemain Indonesia itu menemui rentaknya, ia adalah satu perjuangan yang sukar untuknya.

“Saya tahu ia agak sukar, tetapi ini menunjukkan Ginting adalah Nombor 6 di dunia. Saya bermula dengan baik dan dapat rasakan Ginting gugup dengan permainan saya. Namun dia berjaya menemui rentak dan sangat pantas. Dia menunjukkan kepada saya betapa saya perlu memperbaiki diri,” katanya.

- Advertisement -