
MASIHKAH ada yang keliru dengan pendirian PAS? Kekal bersama PN, bersedia mengukuhkan MN dan menolak PH. Pendirian ini bukan hanya strategi politik tetapi lebih kepada perteguhkan prinsip.
Apa prinsip PAS? Pertahankan kepentingan Islam dan menyatukan bangsa Melayu serta bekerjasama dengan bangsa lain yang tidak ekstrem demi kesejahteraan negara.
Atas prinsip pertahankan kepentingan Islam, PAS menolak sebarang hubungan dan kerjasama dengan PH khasnya DAP. Pengalaman bersama DAP dalam PR dan kerakusan DAP selama 22 bulan cukup menyedarkan PAS.
Ia pengalaman yang mungkin belum difahami oleh BERSATU dan tidak dimengerti oleh Umno. Tidak pelik kedengaran teori ‘khemah besar’ dalam PN dan ‘jajaran baru’ dari BN ditolak mentah-mentah oleh PAS.
Kerjasama PAS dengan parti-parti lain adalah di atas prinsip penyatuan ummah, usaha itu pernah berjaya dengan tujuan menyelamatkan Malaysia dan menjatuhkan PH. Namun apabila saling berkuasa kerakusan melupakan realiti dan sejarah lampau.
PAS konsisten untuk penyatuan dan menghalang PH. Di Selangor dan Penang, PAS dilihat cenderung bersama Umno biarpun siang malam Umno menyerang PAS di Terengganu dan Kelantan. Begitu juga ‘beberapa pimpinan Umno’ yang sedang mencari talian hayat.
Di Perak PAS dilihat lebih dekat dengan BERSATU khasnya selepas beberapa insiden sehingga dan kesan pertukaran Menteri Besar Perak. Di Kedah perang mulut tak berakhir antara PAS dan Umno. Begitu juga di Pahang yang suatu ketika dilihat lunak bersama Umno atas Muafakat Nasional.
Bagi yang mengikuti dan memahami prinsip PAS dan sentiasa mendampingi program tarbiyah dan penerangan PAS, mereka sangat faham dan jelas apa yang sedang PAS lakukan. Walaupun ada bekas pimpinan PAS sendiri keliru mungkin kerana sibuk mentarbiyah hingga lupa ditarbiyah. Termasuk kerana kepentingan peribadi.
Biarpun sukar, PAS terus mengusahakan penyatuan ummah. Bersama Umno selagi ada ruang toleransi tanpa sikap abang besar. Begitu juga kekal bersama BERSATU di samping mempertahankan lubuk dan kerusi kekuatan PAS agar tidak rakus.
Di atas prinsip pertahankan kedaulatan agama dan bangsa melalui penyatuan ummah, PAS mengajak agar yang memberi tidak kedekut, meminta tidak tamak. Mengukur kekuatan untuk saling membantu. Tidak mengambil kesempatan ketika dibantu.
PRU15 akan saksikan keikhlasan dalam perjuangan atau mengambil kesempatan dari perjuangan.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 19/8/2022




















