Ganti strategi MARSIAT dengan MARWAH

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Sektor perniagaan di negara ini kian kembali rancak selepas dua tahun dilanda pandemik, namun malangnya dalam keghairahan golongan peniaga yang cuba melariskan produk bisnes masing-masing, muncul segelintir yang sanggup menggunakan strategi MARSIAT.

Merujuk kepada perkongsian di Facebook pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin baru-baru ini, beliau berkata bahawa ada segelintir peniaga tempatan kini semakin berani menggunakan strategi MARSIAT (atau ‘marketing maksiat’) demi untuk mengejar keuntungan dalam membina empayar perniagaan. 

- Advertisement -

Justeru, beliau menasihatkan agar peniaga sebaliknya menggunakan strategi MARWAH (atau ‘marketing dakwah’) dalam menjalankan perniagaan masing-masing.

“Melalui MARWAH, untung dunia dapat, (keuntungan) akhirat lagi berganda (dapat),” ujarnya.

Menurut beliau, apa yang dibimbanginya ialah aksi MARSIAT yang tular di media sosial itu ditonton ahli keluarga khususnya kanak-kanak dan remaja

“Bukan main aktivis seperti Akhie Fairuz dan lain-lain berjuang memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mencegah salah laku seksual dan zina khususnya kepada anak-anak. Tapi, mereka ini pula semakin menjadi-menjadi melakukan MARSIAT secara terbuka,” tegas beliau.

Ustazah Asmak turut memberitahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: 

Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’. Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan daripada dirinya.” (Riwayat al-Bukhari – 6069)

Beliau turut berkata bahawa matlamat tidak menghalalkan cara sudah jelas. 

Ustazah Asmak Husin

“Sekali aksi kita ditayangkan kepada umum, ia kekal selama-lamanya dan sukar ditarik balik.

“Dan untuk membuat MARSIAT harganya bukan murah tapi apa gunanya kerana ibarat menyediakan MLM dosa yang tidak berkesudahan,” tambahnya dalam perkongsian Facebook tersebut.

“Justeru, saya menyarankan kepada para peniaga di negara ini agar menggunakan kreativiti, wang, usaha + JIHAD untuk melakukan MARKETING + DAKWAH: MARWAH. Untung dunia dapat, akhirat lagi berganda. Berniaga dapat, berdakwah pun ‘tapau; (dapat kumpul) sekali.

Menurutnya lagi, umat Islam perlu jangan leka bahawa hidup di dunia bukan selama-lamanya kerana semua ini hanya dipinjamkan Allah buat manusia sebagai hamba-Nya.

“Hidup kita ini singkat atas dunia ni. Di akhirat umur kita lagi panjang, sebab itu kita buat SMART PAHALA sebanyak mungkin. Buat kerja biar 2 in 1 tak apa. Kalau dapat banyak sekaligus in 1 lagi bagus.

“Kita kalau tak berapa baik pun tapi jangan menjadi penyebab kepada orang lain buat tak baik. Saya pun tak baik juga tapi kita diajar supaya banyakkan berdoa supaya Allah tutup aib kita dan keluarga kita.

“Sebabnya aib terbuka ini bukan sahaja menjatuhkan kita tetapi mendorong ikutan orang lain. Tak terlarat rasanya nak tanggung dosa MLM ni,” jelasnya lagi

Oleh itu, Ustazah Asmak mengajak semua pihak untuk sama-sama berdoa supaya lebih ramai peniaga dikurniakan hikmah dan menghasilkan MARWAH supaya MARSIAT tenggelam.  – HARAKAHDAILY 16/08/2022

- Advertisement -