1.5 juta kanak-kanak belum divaksin

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Noor Azmi Ghazali
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Seramai 1,518,773 kanak-kanak di negara ini sehingga kini masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata daripada jumlah itu, seramai 264,750 kanak-kanak belum layak diberi vaksin kerana belum mencapai umur lima tahun.

- Advertisement -

Menurutnya, seramai 1,767,078 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun menerima satu dos suntikan, manakala 1,485,265 telah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19.

Daripada 3.55 juta kanak-kanak di negara ini, katanya seramai 988 kanak-kanak menerima dos tambahan.

“Sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids), ibu bapa di negeri-negeri Pantai Timur menunjukkan sambutan kurang baik terhadap program itu.

“Di Kelantan, hanya 16 peratus kanak-kanak yang divaksin, manakala di Terengganu hanya 20 peratus disebabkan keengganan ibu bapa memberikan kebenaran dan di Sabah hanya 34 peratus. Tiga negeri ini tidak mencapai 50 peratus liputan PICK Kids,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, kerajaan akan meneruskan usaha yang dibuat selama ini dan membuat ketetapan, pemberian dos tambahan adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada terkena jangkitan Covid-19 yang serius.

Beliau merayu ibu bapa supaya memberi kebenaran, sekali gus dapat melindungi anak-anak daripada dijangkiti Covid-19.

Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan pemberian vaksin kepada kanak-kanak, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan beberapa tindakan.

Katanya, ini termasuk menyediakan pakar pediatrik dan kesihatan awam untuk memberikan maklumat kepada orang awam melalui televisyen dan menghasilkan bahan pengiklanan pendidikan kesihatan dalam bentuk infografik, soalan lazim, dan video pendek untuk rujukan mereka.

“KKM juga bekerjasama dengan Immunise4Life bagi menghasilkan video mengenai jangkitan Covid-19 dan kepentingan imunisasi dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan loghat Pantai Timur.

“Kementerian juga menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak untuk mendapatkan janji temu imunisasi di klinik kesihatan berdekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -