Tambah 10 peratus katil di setiap hospital daerah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menambah bilangan katil sebanyak 10 peratus di kesemua hospital daerah di Kelantan sejak awal bulan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Husin berkata, langkah itu dibuat berikutan berlaku peningkatan ketara pesakit sejak awal bulan ini termasuk kes Influenza.

Katanya, mengambil perkembangan itu bilangan katil di setiap hospital daerah di seluruh negeri ditambah sebanyak 10 peratus.

- Advertisement -

“Pihak pengurusan hospital mengambil beberapa langkah menangani masalah kekurangan katil dengan mengoptimumkan penggunaan katil di hospital,” katanya selepas program Gotong-Royong Mega Cegah Denggi 1.0 peringkat negeri dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Daerah Tumpat hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin.

Mengenai cadangan membuka semula Hospital Kuala Krai lama bagi menampung pertambahan pesakit, katanya ia bergantung kepada keperluan semasa.

“Setakat ini masih mencukupi untuk menampung bilangan pesakit termasuk pesakit Influenza dan Denggi.

“JKNK sentiasa peka dengan masalah berkaitan dengan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDALI 28/7/2022

- Advertisement -