
Oleh ZULHAIDI MANSOR
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan rel di ibu negara disarankan untuk menggunakan pengangkutan alternatif susulan bekalan elektrik yang terputus di Lembah Klang.
Menurut satu kenyataan Rapid KL Sdn. Bhd. melalui hantaran Facebook, dukacita dimaklumkan gangguan bekalan elektrik yang sedang dialami oleh beberapa kawasan di Lembah Kelang turut menjejaskan perkhidmatan rel, khususnya Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling.
“Penumpang dinasihatkan untuk bersabar dan sila ikuti arahan yang diberikan. Ikuti kami untuk perkembangan selanjutnya,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara dalam kenyataan terbaharunya, di sini, hari ini, Rapid KL berkata, sebanyak 11 stesen perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling dari Stesen LRT Bandar Tun Razak sehingga Pusat Bandar Puchong mengalami gangguan pada jam 12.48 tengah hari tadi sehingga menyebabkan tren bergerak perlahan.
“Tren bergerak dengan lebih perlahan dan berhenti lama di platform. Penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon perjalan sehala percuma yang perlu tebus di kaunter khidmat pelanggan,” ujar kenyataan tersebut yang mengesahkan perkhidmatan telah pulih sepenuhnya menjelang jam 1.35 petang tadi.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter @_fzr, tular sebuah video menunjukkan reaksi orang ramai yang sedang berada di pusat beli-belah Sunway Pyramid di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor terkejut susulan gangguan bekalan elektrik di situ.
Selain itu, pusat beli-belah KLCC di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing juga turut mengalami gangguan bekalan elektrik. – HARAKAHDAILY 27/7/2022




















