Ahli Parlimen perlu dapat semula hormat rakyat

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen yang melompat parti memberikan imej yang tidak baik kepada rakyat dan ini dicerminkan dengan tindakan rakyat tidak keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan melompat parti menyakitkan satu pihak dan pada masa sama memberi keuntungan kepada pihak yang lain.

- Advertisement -

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), katanya beberapa Ahli Parlimen pembangkang melompat menyertai parti kerajaan dan tindakan itu memberi keuntungan kepada kerajaan ketika itu.

Katanya, begitu juga selepas berlaku perubahan kerajaan pada Februari 2020, Ahli Parlimen yang melompat dari parti ke sana dan ke sini, ada pihak yang menerima keuntungan.

“Seperti yang (Ahli Parlimen) Pengerang (Dato’ Sri Azalina Othman Said) sebut bagaimana dalam PRN Johor dan Melaka, orang tidak keluar mengundi. Anak muda bosan dengan ahli politik, tidak kira dari parti mana sekali pun.

“Saya sering buka TikTok dan Facebook ahli politik, kadang-kadang kita dikecam oleh orang yang tidak berparti pun. Bagi mereka, orang politik sama sahaja. Cakap tak serupa bikin dan bercakap hanya untuk keuntungan mereka,” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa jika perasaan hormat daripada rakyat tidak ada, maka kesannya kepada pilihan raya ialah rakyat tidak akan peduli.

“Pilihlah sesiapa pun, buatlah apa pun, kami (rakyat) nak jaga periuk nasi kami. Ini mentaliti yang ada pada rakyat yang kita rasa satu perkara yang sangat membimbangkan.

“Hormat daripada rakyat ini perlu kita tarik semula. Ahli politik hendaklah konsisten dan mempunyai prinsip yang tidak boleh diganggu gugat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya memperkenalkan undang-undang ini dalam bentuk pindaan Perlembagaan dengan satu bentuk kerjasama kerajaan dan pembangkang adalah sejarah baru dalam politik negara ini.

Menurutnya, komitmen kerajaan untuk membuat pindaan ini cukup baik dan mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah menunjukkan kesungguhannya untuk meninggalkan legasi yang cukup baik.

“Inilah satu perkara bersejarah di negara kita dengan memperkenalkan undang-undang yang bukan untuk kepentingan sesiapa, tetapi demi demokrasi negara kita.

“Walaupun kerajaan hari ini disebut sebagai kerajaan tebuk atap, pintu belakang dan sebagainya, tetapi hakikatnya kerajaan inilah yang berani untuk memperkenalkan undang-undang seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/22

- Advertisement -