Kaedah tradisional, dasar tertutup perlu disemak

Institusi kewangan Islam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kaedah operasi yang dilaksanakan secara tradisional serta dasar tertutup dalam institusi berkaitan kewangan Islam perlu disemak semula dan digantikan dengan kaedah lebih komersial dan moden bagi mendapat kepercayaan masyarakat.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah Majlis Agama Islam di setiap negeri termasuk organisasi korporat serta orang ramai perlu berganding bahu mencari kaedah terbaik bagi menyatukan usaha dan tenaga dalam memperkasakan semua institusi kewangan Islam di negara ini.

“Antara usaha yang boleh dilakukan ialah institusi kewangan Islam hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan erat dan padu dengan golongan dan organisasi korporat. Beta yakin dengan usaha sebegini, pasti akan menyuburkan dan memperkasakan lagi institusi kewangan Islam dengan pelbagai kaedah bantuan daripada golongan pakar dan profesional yang berada dalam organisasi korporat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan secara dalam talian Muzakarah Cendiakawan Syariah Nusantara ke-16 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut melahirkan rasa sukacita dengan pencapaian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang telah ke hadapan dengan mendigitalkan keseluruhan operasi zakat di negeri ini.

Titah baginda, pelaksanaan sistem ‘Zakat On Touch’ yang dilancarkan LZNK sebelum ini terbukti membuka mata masyarakat untuk melihat informasi berkaitan zakat negeri Kedah secara telus, cepat dan tepat secara langsung.

“Selain itu melalui platform ‘Kedah International Zakat Academy’, LZNK berjaya berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pengurusan zakat di seluruh dunia secara percuma.

“Pada 2019 LZNK juga menerima kunjungan daripada Sokoto State Zakat and Endowment Commission, Nigeria dan delegasi itu terus menerima latihan berkaitan sistem zakat negeri Kedah untuk dilaksanakan di negara mereka,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sallehuddin juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa institusi kewangan islam tidak seharusnya berlandaskan kepada keuntungan atau ‘profit oriented’ semata-mata sebaliknya terus menyumbang dan membangunkan umat Islam secara keseluruhan.

Baginda mengambil contoh langkah LZNK membangunkan Smart Sawah Berskala Besar Asnaf di lebih 200 hektar sawah di Kedah yang bukan sahaja dapat memastikan jaminan bekalan makanan kepada golongan asnaf malah memperkasakan ekonomi petani setempat.

“Beta yakin sekiranya usaha-usaha dilakukan dapat diikuti institusi-institusi yang lain dan dibantu sepenuhnya semua pihak terutama organisasi korporat dan institusi kewangan Islam, pasti usaha pembangunan ummah sebegini akan terus berkembang demi maslahah umat keseluruhannya,” titah baginda. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -