Sultan Kedah berkenan lancar Pelan Strategik MAIK 2021-2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) hari ini melancarkan Pelan Strategik MAIK 2021-2025 dalam usaha menentukan hala tuju majlis agama Islam itu untuk terus bergerak maju sesuai dengan arus pemodenan abad ke-21.

Pelancaran pelan strategik itu disempurnakan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berlangsung secara dalam talian.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Yang Dipertua MAIK pada majlis itu bertitah, pelan tersebut menggariskan lima teras strategik utama antaranya mempertingkatkan kualiti tadbir urus pengurusan; memantapkan peranan Baitulmal sebagai institusi penggerak sosial dan ekonomi Islam serta memperkasakan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi sosial umat Islam.

- Advertisement -

Selain itu, teras tersebut termasuk memperkukuhkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi terkini serta memperkasakan penguatkuasaan undang-undang hal ehwal agama Islam dan membudayakan penyelidikan bagi kesejahteraan ummah.

“Hasrat bagi menggubal pelan strategik ini telah saya sampaikan pada 9 Januari 2020 pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Amanat Tahun Baru 2020 bersama dengan semua kakitangan majlis. 

“Bertitik tolak daripada situlah beberapa siri bengkel serta perbincangan telah diadakan bagi merangka dan menggubal pelan ini dengan melibatkan seluruh warga kerja Majlis Agama Islam Negeri Kedah,” titah baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah proses penyediaan pelan strategik itu terganggu disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini dengan pihak kerajaan melaksanakan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lepas.

Namun, Baginda bertitah pelan strategik itu dapat disiapkan serta diluluskan dalam Mesyuarat Majlis pada 24 Ogos lepas dan gerak kerja pada peringkat semua ketua bahagian MAIK dilaksanakan bagi memenuhi petunjuk prestasi utama yang ditetapkan bagi tahun ini meskipun ia baru sahaja diluluskan.

“Sesungguhnya, penghasilan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah ini adalah amat penting dan perlu bagi memastikan perancangan kita untuk tempoh lima tahun akan datang, apa yang dirancang dan apa yang kita ingin capai telah digariskan, ditetapkan dan ia dapat diukur serta dinilai,” titah Baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah untuk memastikan aspirasi yang terkandung dalam pelan strategik itu tercapai, semua warga kerja MAIK perlu komited untuk mempertingkatkan cara kerja dengan mementingkan kreativiti dan inovasi selaras perkembangan semasa.

Baginda turut menjelaskan bahawa pelan strategik itu boleh dipinda jika terdapat keperluan untuk menambah baik supaya ia menjadi lebih efektif. – BERNAMA

- Advertisement -