Tindakan tegas, segera sekat anasir liberal – UMMAH

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas dan keras akan diambil dengan segera terhadap mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat kedaulatan agama Islam di negara ini dengan apa cara sekali pun.

Itu penegasan berbaur amaran yang dilaungkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), yang bangkit demi mempertahankan kedaulatan Islam daripada diremeh dan dihina oleh pihak atau individu tidak bertanggungjawab, jika ada yang berani muncul lagi pada masa hadapan.

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya bersama beberapa gabungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan solidariti untuk membanteras pihak yang biadap dan berani menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW; dan yang terbaharu, telah mencabar kedaulatan Islam, agama rasmi di negara ini. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berlangsung Himpunan UMMAH Pertahan Kedaulatan Islam di Dataran Masjid Putra, di sini, pada hari ini, sejurus selepas selesai solat Jumaat.

“Perlu diketahui bahawa perhimpunan yang diadakan ini adalah kerana kita semua sangat  kesal dengan perbuatan Siti Amirah Natasya (ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club) dan pihak-pihak lain yang telah bersekongkol dengannya, yang mana ada segelintirnya sanggup menghina agama sendiri.

Mohd Zai pada sidang media Himpunan UMMAH Pertahan Kedaulatan Islam di Putrajaya pada 22 Julai 2022 (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Si pelaku perlu segera insaf dan menyesali perbuatannya dengan segera bertaubat dan memohon maaf kepada umat Islam,” tegasnya.

Mohd Zai turut mendesak agar pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa negeri agar melaksanakan pendakwaan, dan mengenakan tindakan dan hukuman yang keras kepada pelaku agar kes seperti itu menjadi pengajaran kepada pihak terbabit.

Tambahnya, ada pihak tertentu yang terlibat telah menjadi dalang utama dalam penyediaan ‘bahan’ (content) dan platform seperti berlakunya kes penghinaan agama Islam di Crackhouse Comedy Club berkenaan.

“Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan bagi menyekat anasir liberal sama ada dalam dan luar negara yang cuba membuat rancangan atau plot untuk menghina agama Islam secara terancang dengan menggunakan orang Islam dan platform media sosial dan lain-lain medium,” jelas beliau.

Perhimpunan berkenaan turut dihadiri Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohd Izzuddin Aziz dan Penasihat UMMAH, Kamaruzaman Muhammad.

Dalam pada itu, Mohd Zai turut menggesa pihak menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam bagi setiap negeri agar segera bertindak bagi menangani kes penghinaan agama Islam di negeri masing-masing.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam dan bukan Islam di Malaysia agar  menghormati sensitiviti agama Islam dan agama-agama yang lain serta kaum bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di negara kita yang tercinta ini,” katanya. – HARAKAHDAILY  22/07/2022

- Advertisement -